BANGI, 2 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan program Sinar di Sebalik Tirai Besi membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memberi peluang kedua kepada penghuni penjara agar mereka dapat membina kehidupan lebih baik selepas menjalani hukuman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata program itu juga sebagai serampang dua mata apabila memberi peluang kedua kepada penghuni penjara dan pada masa sama dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dalam sektor pembersihan awam.
“Setakat ini, sebanyak 1,100 ‘graduan’ dilahirkan di bawah program ini. Walaupun mereka penghuni penjara, kerajaan percaya setiap insan berhak mendapat peluang kedua.
“Sepanjang mengikuti latihan, mereka menerima elaun RM500 sebulan di samping memperoleh sijil kemahiran yang diiktiraf,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Keempat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed.
Nga berkata mereka yang menamatkan program dengan dengan kelulusan SKM Tahap 2 layak dipertimbangkan untuk memohon pekerjaan di syarikat konsesi atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
Program itu merupakan kerjasama strategik antara SWCorp, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Penjara Malaysia, dengan Nga menyifatkannya sebagai bukti kerajaan tidak lagi bekerja secara silo (corak kerja secara kepompong) tetapi berganding bahu sebagai sebuah pasukan.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus menerajui usaha ini untuk melatih lebih ramai penghuni penjara menjadi pekerja berkemahiran tinggi selaras dengan wawasan negara melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Nga berkata TVET semakin mendapat tempat dengan kemahiran dalam bidang itu membolehkan individu memperoleh pendapatan yang baik, selain setiap profesion adalah mulia dan harus dihargai, khususnya mereka yang menjaga kebersihan awam.
Beliau berkata aspek kebersihan juga menjadi agenda penting dalam pembangunan negara, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi meningkatkan imej serta martabat Malaysia di mata dunia.
Pada majlis itu, sebanyak 243 penghuni penjara menerima SKM Tahap 2 dalam bidang Operasi Manual Pembersihan Awam selepas menamatkan latihan selama lapan bulan bermula Ogos tahun lepas di 18 Pusat Vokasional Industri Penjara di seluruh Semenanjung Malaysia.
Selain itu, lima petugas SWCorp menerima SKM Tahap 3 dalam bidang Setiausaha Korporat Eksekutif melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial