AM

Malaysia Ucap Takziah Kepada Filipina Susulan Gempa Bumi Di Cebu - PM Anwar

01/10/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan serta rakyat Filipina susulan gempa bumi kuat yang melanda Cebu dan kawasan sekitarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia turut bersedih bersama rakyat Filipina atas kehilangan nyawa yang tragis serta kesusahan yang ditanggung oleh banyak keluarga.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.

“Doa dan ingatan kami juga bersama mereka yang cedera, hilang tempat tinggal serta semua yang terkesan akibat tragedi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dan bersedia memberi sokongan dalam usaha bantuan serta pemulihan.

“Kami berdoa agar kekuatan dan ketabahan rakyat Filipina akan membantu mereka melalui hari-hari sukar ini,” kata Anwar.

Pada Selasa, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pada awalnya melaporkan gempa bumi berukuran 6.7 melanda wilayah Cebu pada 9.59 malam waktu tempatan. Institut itu kemudian menyemak semula magnitud kepada 6.9, dengan menambah gempa berlaku pada kedalaman 5 kilometer, kira-kira 19 kilometer timur laut Bogo City, lapor Xinhua.

Gegaran turut dirasai di banyak wilayah berhampiran di kawasan tengah Filipina serta beberapa kawasan di selatan negara itu.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam kejadian gempa bumi itu, dengan angka korban dijangka terus meningkat ketika kerajaan menggerakkan agensi-agensi untuk mencari mangsa yang terselamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan