KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Negara-negara anggota ASEAN perlu menjalin kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam industri keluli untuk memacu pewujudan pasaran bersepadu ASEAN dan integrasi yang menyeluruh.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata ASEAN boleh bekerjasama dalam pelan hala tuju penyahkarbonan, perkongsian teknologi dan perolehan secara bersama untuk membina kerjasama keluli serantau.
“Setakat ini, negara-negara anggota ASEAN menganggap pelaburan dalam industri keluli sebagai pelaburan swasta, dengan melihat peningkatan pelaburan asing serta pertumbuhan pengeluaran dan eksport keluli yang tinggi sebagai hasil yang positif.
“Bagaimanapun, berhenti pada matlamat ini boleh membawa kepada persaingan tidak sihat dalam meningkatkan kapasiti dan pelaburan dalam relau besar. Justeru, lebih banyak pelepasan karbon dan ketegangan perdagangan serta berpotensi mencetuskan perang perdagangan yang menjadi kitaran buruk,” katanya.
Liew berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Penggubal Dasar mengenai Keluli ASEAN serta Forum Besi dan Keluli mengenai Kelestarian dan Pembinaan ASEAN 2025 hari ini.
Beliau berkata ini adalah masa bagi ASEAN untuk mematuhi piawaian tertinggi, mewujudkan keadaan bagi keluli yang bersih dan mesra alam, menyelaraskan kapasiti dan meneruskan pendekatan serantau untuk pengeluaran dan pelaburan keluli, termasuk mencari pembiayaan gabungan bersama.
“Dalam landskap geoekonomi yang berubah, ASEAN mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan dan kita perlu mengambil tindakan secara bersama.
“Kita memerlukan gabungan global untuk keluli yang bersih dan mesra alam. Saya amat berharap negara-negara anggota ASEAN dapat mengambil peranan utama untuk membina platform bagi menjayakan kerjasama tersebut,” katanya.
Liew berkata menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial