KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Qatar bagi memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohamed Khaled memaklumkan beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, semalam dan disambut oleh wakil rasmi Kerajaan Qatar Komander Tentera Udara Emiri Qatar Mej Jen Mohamed Al Dosari, Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali, serta Atase Pertahanan Malaysia di Ankara Kol Edafi Daud
“Lawatan ini bakal menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Qatar.
"MoU ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled, beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Sheikh Saoud bin Abdulrahman bin Hassan bin Ali Al Thani.
“Kunjungan hormat ini akan diikuti dengan mesyuarat dua hala, sebelum saya mengadakan lawatan rasmi ke Barzan Holdings, sebuah syarikat berkaitan industri pertahanan milik Kerajaan Qatar,” katanya.
Beliau berkata, lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian MoU antara syarikat Malaysia, Ingress Corporation Bhd, dengan Barzan Holdings yang akan disaksikan oleh Menteri Pertahanan kedua-dua negara.
Mengiringi Mohamed Khaled dalam delegasi Malaysia ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial