AM

BUDI95: Penerima STR Hargai Usaha Kerajaan Ringan Beban Rakyat

28/09/2025 04:28 PM

BUTTERWORTH, 28 Sept (Bernama) -- Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mula menikmati inisiatif BUDI MADANI RON95 memuji inisiatif kerajaan menunaikan janji dengan memberikan subsidi pembelian petrol RM1.99 seliter.

Nur Fatini Mohd Addnan, 24, berkata meskipun ada melihat pengurangan itu satu jumlah kecil namun ia besar maknanya bagi mereka yang benar-benar memerlukan.

“Bagi saya, RM1.99 seliter petrol ini sangat murah kerana sudah jimat enam sen berbanding harga sebelum ini RM2.05. 

“Pemberian subsidi ini sekali gus membolehkan saya berjimat serta mengurangkan beban dari segi pembelian petrol untuk berulang-alik ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Jalan Raja Uda di sini hari ini.

Nur Fatini yang bekerja di sebuah kilang di Perai berkata biasanya dia akan mengisi RM50 dan boleh bertahan dua ke tiga minggu untuk berulang alik ke tempat kerja dari rumahnya di Sungai Puyu, justeru, had 300 liter sebulan adalah mencukupi.

Selain itu, dia turut memuji sistem transaksi pembayaran yang tidak rumit dan memudahkan pengguna.

Katanya, walaupun agak kekok pada peringkat awal tetapi ia mudah difahami tambahan terdapat pekerja di stesen minyak yang sedia membantu, di samping kaunter informasi turut disediakan bagi memberi  penerangan berkaitan inisiatif dilaksanakan.

Perkara sama turut disuarakan N Nageswari, 51, yang berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa menghargai dan mendahulukan golongan B40 dalam setiap pelaksanaan inisiatif membantu rakyat.

Dia yang bekerja sebagai pemandu e-hailing turut lega kerana layak menikmati petrol pada harga lebih rendah.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peluang kepada rakyat untuk menikmati harga minyak rendah,” katanya.

Ang Chean Leong, 63, dari Jalan Raja Uda pula berkata pemberian subsidi itu dilihat tepat pada masanya dalam keadaan rakyat amat memerlukan.

“Kita tahu sekarang ini kos sara hidup semakin tinggi jadi dengan pemberian subsidi RM1.99 seliter memang amat membantu rakyat terutama dalam kalangan golongan B40,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan