KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa semua pihak supaya memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), untuk melengkapkan proses rayuannya terhadap sekatan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Hannah berkata kementerian memandang serius keputusan FIFA, sambil menegaskan bahawa keutamaan masa ini ialah memastikan semua proses dijalankan dengan penuh integriti demi kepentingan negara.
“Keutamaan sekarang adalah untuk FAM lengkapkan proses rayuan perundangan FIFA dan antarabangsa sehingga selesai sepenuhnya. Kesan perkara ini bukan sahaja melibatkan tujuh pemain tetapi seluruh pasukan kebangsaan kita,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram, hari ini.
Beliau turut mengakui kekecewaan yang dirasai penyokong Harimau Malaya susulan keputusan FIFA itu, sambil menambah bahawa beliau juga berkongsi perasaan yang sama.
“Sama seperti ribuan penyokong Harimau Malaya di luar sana, saya juga berasa sedih dan marah apabila membaca mengenai keputusan FIFA,” katanya.
Hannah juga mengulangi komitmennya untuk melindungi hak dan kebajikan setiap atlet Malaysia tanpa mengmbil kira jenis sukan.
Semalam, FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA memaklumkan tujuh pemain dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Pemain yang dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Walau bagaimanapun, FAM menerusi kenyataan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman dikenakan ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan negara.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempercepatkan proses rayuan berhubung sekatan dan denda dikenakan kepada mereka dan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata gesaan itu penting dengan menekankan soal integriti dan ketelusan, demi memastikan kepentingan penyokong Harimau Malaya dan masyarakat dihormati.
“Reputasi bola sepak Malaysia mesti dipertahankan dan sebarang bentuk campur tangan politik atau sabotaj yang cuba menjejaskan sukan ini perlu ditolak sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Instagram hari ini.
Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan FIFA mengenakan hukuman tersebut sebagai sesuatu yang “pelik”.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Khairy turut berkongsi proses lima langkah untuk pemain kelahiran luar negara yang mempunyai datuk atau nenek warganegara Malaysia, iaitu mengesahkan salasilah keturunan, mengesahkan kewarganegaraan, mendapatkan pasport Malaysia, mengemukakan dokumen kepada FIFA dan mendapat kelulusan FIFA.
“FIFA sudah pun memberi kelulusan mengikut proses yang ditunjukkan. Ini bermakna FIFA telah menyemak dokumen dan menjalankan penelitian sewajarnya sebelum membenarkan tujuh pemain itu beraksi untuk Malaysia.
“Mengapa sekarang mereka ubah fikiran? Siapa yang membuat aduan?,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial