KOTA KINABALU, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan hari ini mengadakan prapelancaran perkhidmatan bas berhenti-henti, BAS.MY yang lebih dinamik, cekap dan efisien kepada penduduk di sekitar bandar raya ini menjelang Februari tahun depan.
Menterinya Anthony Loke berkata prapelancaran itu membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperkasa perkhidmatan bas berhenti-henti moden yang kelak membawa transformasi besar kepada imej Kota Kinabalu.
Beliau berkata RM17.6 juta setahun atau RM88 juta secara keseluruhan selama lima tahun diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif Program Transformasi Bas Berhenti-henti di bandar raya itu, dengan lapan laluan ditawarkan melibatkan 48 bas baharu.
"Perkhidmatan ini akan dimulakan secara berperingkat bermula Oktober dengan pengenalan perkhidmatan percubaan (free ride) hingga Januari iaitu sebelum ketibaan bas baharu dijangka awal tahun depan.
"Sebanyak 48 bas akan digunakan dalam operasi penuh perkhidmatan ini. Setakat ini, tiga bas sudah berada di Kota Kinabalu untuk beroperasi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan prapelancaran perkhidmatan bas itu di KK Sentral di sini, hari ini.
Loke berkata BAS.MY turut diberi nafas baharu menerusi penjenamaan semula yang lebih segar dan mesra pengguna termasuk pengenalan reka bentuk bas berwarna merah jambu bertujuan memudahkan orang ramai mengenali perkhidmatan itu, di samping menarik minat generasi muda menggunakan pengangkutan awam.
Beliau berkata perkhidmatan bas itu juga menampilkan pelbagai ciri moden demi meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Kota Kinabalu, antaranya laluan lebih strategik, sistem pemantauan GPS secara masa nyata, sistem pembayaran tanpa tunai atau e-tiket, kamera litar tertutup, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Beliau berkata ini sekali gus akan menggantikan sistem perkhidmatan bas berhenti-henti sedia ada yang masih berasaskan model lama dan konservatif secara berperingkat.
"Sebelum ini, perkhidmatan bas berhenti-henti di sekitar Kota Kinabalu banyak diusahakan oleh pihak persendirian. Kita tidak akan kacau dan mereka masih boleh beroperasi tidak ada masalah kerana ada kawasan jauh seperti Tuaran yang bergantung kepada perkhidmatan sedia ada ini.
"Untuk pihak pengusaha pesendirian, mereka tak boleh berjalan mengikut jadual kerana ada kekangan kadang-kadang kalau tidak cukup penumpang mereka jalan, mereka rugi.
"Perkhidmatan BAS.MY ini pula diperkenalkan untuk kawasan sekitar bandar raya Kota Kinabalu yang akan beroperasi secara berjadual dan konsep ini lebih kepada pengusaha tidak ada risiko kerana mereka dibayar mengikut jadual operasi. Jadi, ada atau tidak ada penumpang ataupun kurang penumpang, bas tetap kena berjalan," katanya.
Loke berkata inisiatif sama turut dilaksanakan di bandar utama di beberapa negeri seperti Kangar, Perlis; Seremban, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak; Kuala Terengganu, Terengganu; Johor Baharu, Johor; Kuantan, Pahang; dan Kuching, Sarawak.
Beliau berkata BAS.MY akan menawarkan perkhidmatan tambang percuma kepada golongan OKU, warga emas, pelajar sekolah dan mahasiswa, dengan sekali bayar RM10 untuk mereka mendapatkan kemudahan kad konsesi bagi menikmati akses pengangkutan awam itu.
Bagi pengguna lain, mereka hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua lapan laluan BAS.MY Kota Kinabalu bagi tempoh 30 hari, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial