KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu terus mengamalkan pemakaian produk tekstil tempatan seperti batik sebagai sebahagian daripada gaya hidup bagi memastikan warisan seni kraf negara itu terus hidup dan kekal relevan.
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki berkata pemakaian batik berkenaan tidak seharusnya dihadkan pada majlis-majlis rasmi sahaja, sebaliknya ia perlu dijadikan pakaian harian.
Beliau berkata pembudayaan pemakaian batik dalam kalangan rakyat Malaysia akan menggalakkan golongan artis atau pengusaha kraf tekstil untuk menghasilkan produk batik.
Siti Kamariah bagaimanapun berkata artis kraf batik juga perlu memainkan peranan untuk menghasilkan produk berasaskan batik yang dapat memenuhi keperluan dan cita rasa rakyat Malaysia bagi menggalakkan pemakaian dan pembelian batik Malaysia itu.
“Daripada kita beli batik yang di cetak, kita beli batik tulis tangan. Kita mengubah pilihan kita daripada sesuatu yang dibuat di kilang kepada yang dibuat oleh artis kraf di bengkel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Yayasan Hasanah pada pameran CIMB Artober Art & Soul di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini, yang menampilkan pameran karya seni dan kraf tangan artisan tempatan.
Siti Kamariah berkata walaupun ada pendapat dalam kalangan masyarakat mengatakan batik lukis tangan mahal, namun rakyat Malaysia perlu juga mengambil kira nilai seni tinggi yang terdapat pada batik berkenaan berbanding batik cetak.
Dalam pada itu, Siti Kamariah berkata selain seni batik, usaha menghidupkan seni telepuk iaitu seni menghias tekstil tradisional Melayu yang kini menjadi warisan negara perlu dipertingkatkan lagi bagi mengelakkan ia daripada ditelan zaman.
“Kita boleh lihat contohnya pakaian pertabalan Negeri Selangor dan Perak, mereka masih lagi menggunakan elemen-elemen itu (telepuk) dan ia adalah sesuatu yang sangat bernilai tinggi.
“… dan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Yayasan Hasanah telah memberi ruang dan peluang juga dana untuk membawa dan menghidupkan kembali usaha-usaha membuat semula kain-kain telepuk ini,” katanya.
Sementara itu, seorang artis seni telepuk Mohd Azwarin Ahmed yang menyokong usaha menghidupkan seni itu berkata keunikan seni berkenaan terletak pada sejarahnya sebagai pakaian diraja yang digunakan semasa upacara istiadat perkahwinan, kelahiran dan berkhatan.
Anak jati Terengganu itu berkata meskipun ia sudah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, seni itu hampir pupus kerana proses pembuatannya yang sukar, memakan masa dan kain yang digunakan tidak menyerap peluh.
Mohd Azwarin berkata seni telepuk memerlukan gabungan empat kemahiran kraf berbeza iaitu tenunan kain, ukiran kayu untuk blok motif, proses menggerus kain dan proses menelepuk itu sendiri.
“Harapan saya sebenarnya saya nak telepuk ini kekal dalam bentuk dia yang asal. Kita boleh buat inovasi tapi jangan inovasi menghapuskan tradisi asal,” katanya, yang juga penerima anugerah Hasanah Gold Threads Awards (HGTA) tahun lepas, dalam kategori Best Traditional (Drawing And Stamping) untuk bidang kraf tradisional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial