Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Negara anggota ASEAN kekal bersatu dan progresif, terus menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerjasama serta inisiatif utama serantau walaupun berdepan peningkatan ketidaktentuan ekonomi global, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata tiada kebimbangan besar dibangkitkan semasa perbincangan tiga hari lepas yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.
"Kami sedang melihat bagaimana kami boleh meningkatkan lagi kerjasama ekonomi ke peringkat seterusnya. Saya fikir ini adalah perkembangan yang sangat positif, walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar," katanya kepada Bernama menerusi satu temu bual eksklusif.
Sementara itu, Kao berkata antara hasil utama yang dijangka dicapai pada sidang kemuncak Oktober depan ialah pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dimuktamadkan.
ATIGA dan DEFA ialah dua inisiatif asas yang bertujuan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi dan kesinambungan masa depan blok serantau itu.
Walaupun butiran terperinci tentang DEFA tidak didedahkan, Kao menyifatkan kedua-dua perkembangan itu sebagai ‘pencapaian utama’, menekankan komitmen ASEAN untuk membina komuniti ekonomi yang lancar dan terhubung secara digital.
Mengenai 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), beliau yakin ia akan dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
"Kami yakin kami akan dapat memuktamadkannya. PED banyak ditumpukan kepada apa yang boleh dilaksanakan dan momentum telah dibina sejak awal tahun. Kami saling bekerjasama untuk mencapai matlamat ini.
“Jadi, kita tunggu sehingga sidang kemuncak untuk menilainya semula, tetapi saya amat yakin Malaysia mampu mencapainya,” katanya.
Ditanya pendapat mengenai cadangan penggal jawatan pengerusi ASEAN dilanjutkan kepada dua tahun atau lebih, Kao menolak idea itu dan menegaskan bahawa rantau ini berpegang kepada prinsip yang telah lama didukung iaitu ‘dasar, amalan dan protokol’ yang termasuk penggiliran jawatan pengerusi setiap tahun.
“Saya tidak fikir cadangan ini pernah sampai ke perbincangan rasmi.
“Kita memberi peluang kepada setiap negara anggota ASEAN untuk memimpin, mempengerusikan, mengadakan mesyuarat,” katanya.
--- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial