Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 25 Sept (Bernama) -- Menteri Luar baharu Thailand Sihasak Phuangketkeow berikrar untuk memberi keutamaan kepada mengekalkan keamanan di sempadan dengan Kemboja, dengan menegaskan komitmennya mendorong dialog bagi memastikan pengunduran tentera dari kawasan pertikaian serta meredakan ketegangan.
Pada hari pertamanya memegang jawatan, Sihasak menegaskan bahawa keutamaannya segera ialah meredakan ketegangan di sempadan dan mengekalkan gencatan senjata yang dipersetujui kedua-dua negara.
“Kementerian Luar dan pihak tentera mesti bekerjasama untuk mencapai keamanan berkekalan di rantau ini demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pegawai kanan kementerian pada Khamis.
Sihasak yang mengangkat sumpah jawatan pada Rabu menegaskan tekadnya untuk menjadikan tempoh singkat pentadbirannya bermakna dengan menangani cabaran diplomatik utama, terutama konflik sempadan.
Beliau menekankan bahawa Thailand tidak boleh menyelesaikan isu ini secara bersendirian, sebaliknya kerjasama dan keikhlasan Kemboja amat penting.
Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan baru-baru ini telah merumuskan prinsip konstruktif untuk mencegah keganasan selanjutnya, namun komitmen itu kini perlu diterjemah kepada tindakan.
“Keamanan memerlukan pengunduran pasukan bagi mengurangkan risiko pertempuran berulang. Kita telah bersetuju mengenainya secara prinsip, tetapi apa yang diperlukan sekarang ialah kemajuan yang nyata,” katanya.
Sihasak turut menegaskan kepentingan diplomasi dan kerjasama ketenteraan dalam mencapai perdamaian.
Ketegangan di sempadan Thai-Kemboja meningkat kepada pertempuran bersenjata pada akhir Julai lepas, yang meragut sekurang-kurangnya 48 nyawa dan memaksa ribuan penduduk melarikan diri sementara waktu.
Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata segera dan tanpa syarat selepas mesyuarat khas di Putrajaya yang dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial