AM

Kejayaan Anjur Persidangan Ketenteraan Cermin Kesungguhan Malaysia Kukuh Keselamatan Serantau

25/09/2025 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata kejayaan penganjuran tiga persidangan ketenteraan utama di sini mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memperkukuh keselamatan serantau selain menunjukkan kepercayaan tinggi daripada rakan antarabangsa terhadap kepimpinan negara.

Beliau berkata persidangan berkenaan bukan sekadar perbincangan rasmi, tetapi juga interaksi dua hala yang bermakna serta aktiviti kebudayaan yang mempertingkat kefahaman dan hubungan peribadi dalam kalangan delegasi. 

“Kami berbangga kerana berjaya menjadi tuan rumah kepada acara penting ini, namun usaha kami tidak berakhir di sini. Hasil perbincangan ini akan menjadi asas bagi kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.

“Selain perbincangan, persidangan ini telah menjalin persahabatan, kerjasama dan hubungan profesional yang memastikan angkatan tentera kita kekal bersatu, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Persidangan Panglima Tentera Darat Indo-Pasifik (IPACC) ke-14, Seminar Pengurusan Tentera Darat Indo-Pasifik (IPAMS) ke-49 dan Forum Pemimpin Kanan Tentera Darat (SELF) ke-11, bertemakan Forging Synergy: Transforming Multinational Land Power Network Through Open Fashion Contact bermula Isnin lepas dan berakhir hari ini.

Acara berkenaan menghimpunkan 161 peserta dari 23 negara, tidak termasuk tuan rumah bersama iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Pasifik Amerika Syarikat (USARPAC).

Sementara itu, Komander USARPAC Jen Ronald Clark memuji TDM atas kepimpinan dalam menganjurkan persidangan itu dan keupayaan menghimpunkan rakan serantau.

“Tentera Darat Amerika Syarikat dan Malaysia mempunyai sejarah kerjasama yang panjang, berlandaskan kepercayaan, saling menghormati dan visi bersama untuk mewujudkan rantau Indo-Pasifik yang selamat dan terjamin,” katanya.

Clark turut menyorot kejayaan Eksesais Keris Strike yang berlangsung dari 17 hingga 29 Julai lepas sebagai asas penting dalam kerjasama keselamatan serantau, dengan menyatakan perkembangan berterusan dari segi skop, skala dan kepentingannya.

IPACC dihadiri 24 peserta, termasuk 12 panglima tentera darat dari 11 negara dan 12 wakil dari negara lain.

IPAMS pula menghimpunkan 87 pegawai kanan, bermula daripada Kolonel hingga Brigedier Jeneral mewakili 20 negara untuk membincangkan pengajaran daripada konflik Rusia-Ukraine, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi ketenteraan serta cabaran dalam menguasai domain maklumat.

Sementara itu, SELF menyediakan platform bagi 50 Sarjan Mejar Rejimen dan wakil Pegawai Tidak Bertauliah (NCO) dari 16 negara untuk membincangkan pemodenan kepimpinan NCO bagi generasi akan datang, merangkumi aspek kepimpinan, kesiapsiagaan dan pembangunan profesional.

Sebagai sebahagian daripada program, peserta IPACC dan SELF menyaksikan demonstrasi Peperangan Menentang Insurgensi atau Perang Gerila (CIW) dan Kemahiran Kelangsungan Hidup di Hutan daripada TDM di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang, Selangor, pada semalam.

Program untuk pasangan turut diadakan dengan menampilkan sesi perbincangan mengenai pengurusan tekanan serta lawatan ke Muzium Seni Islam Malaysia dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan