KOTA BHARU, 24 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri menyifatkan cadangan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap kedua-dua pihak dalam kes rogol bawah umur, yang melibatkan hubungan suka sama suka, sebagai wajar diteliti.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata adalah tidak adil jika hanya pihak lelaki dipersalah dalam perbuatan zina yang dilakukan secara sukarela bersama pihak perempuan.
“Cadangan ini menunjukkan Ketua Polis Kelantan mengambil berat isu berkenaan, dan kita juga memandangnya dengan serius... dalam hal zina bawah umur secara rela, pihak perempuan juga perlu bertanggungjawab.
“Kalau pihak perempuan dilepaskan begitu sahaja, seolah-olah tiada peringatan kepada mereka sedangkan perbuatan zina itu dipersetujui bersama... kelonggaran ini dibimbangi menyebabkan kes berulang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji cadangan itu supaya pasangan yang terlibat dapat dikenakan tindakan sewajarnya.
“Hukuman itu tidak semestinya berbentuk jenayah tetapi lebih kepada pengajaran dan pendidikan kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Mohamed Fadzli juga berkata dalam kes zina bawah umur, lazimnya pihak lelaki akan berdepan pertuduhan rogol jika berumur melebihi 16 tahun manakala pihak perempuan terlepas.
“Sebab itu, kita berpendirian kedua-dua pihak sama ada lelaki atau perempuan perlu bertanggungjawab... Kerajaan negeri menyokong apa yang disebut oleh Ketua Polis Kelantan... ia bukan bermaksud menghukum semata-mata tetapi mendidik agar tindakan tidak hanya dikenakan kepada sebelah pihak,” katanya.
Pada Isnin lepas, Mohd Yusoff mencadangkan agar undang-undang sedia ada diteliti semula, khususnya dalam kes hubungan seksual bawah umur secara suka sama suka, supaya tindakan tidak hanya diambil terhadap pelaku lelaki sebaliknya turut dikenakan ke atas pasangan mereka.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kenyataan Mohd Yusoff itu adalah pandangan peribadi yang lahir daripada kebimbangan terhadap angka dan statistik kes seksual di Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial