EKONOMI

Paten ASEAN Melonjak 70 Peratus, Petanda Lonjakan Inovasi - Kao

24/09/2025 02:53 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pemfailan paten di ASEAN melonjak sebanyak 70 peratus sepanjang dekad lepas, menunjukkan pertumbuhan pesat harta intelek (IP) di rantau ini didorong oleh peningkatan inovasi dalam kalangan negara anggota.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata dalam tempoh yang sama, dengan tiga negara anggota menjadi antara inovator terkemuka dunia, perkumpulan itu juga menyaksikan peningkatan 80 peratus pemfailan reka bentuk perindustrian dan pertumbuhan lebih 10 peratus penggunaan tanda dagangan. 

“Pelaburan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga melonjak lima kali ganda kepada hampir US$55 bilion pada 2023, menyumbang kepada eksport berteknologi tinggi bernilai US$598 bilion.

“Hari ini, ASEAN menjadi penempatan kepada lebih 50 syarikat unicorn, disokong oleh modal teroka bernilai lebih US$10 bilion di enam negara anggota ASEAN dan berada di kedudukan antara  55 Indeks Inovasi Global Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) 2024 teratas dunia,” katanya dalam ucapan perasmian pada persidangan AEM-Ketua Pengarah WIPO.

Persidangan itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Pengarah WIPO Daren Tang.

Kao berkata blok ekonomi itu sedang mempergiat usaha untuk memanfaatkan IP sebagai pemacu strategik pertumbuhan ekonomi, inovasi dan integrasi serantau, memainkan peranan penting dalam membentuk transformasi wilayah menjadi ekonomi bernilai tingg diterajui inovasi.

Menurutnya, IP juga akan kekal sebagai teras kepada agenda ASEAN pasca 2025 di bawah Pelan Strategik ASEAN 2026-2030, bagi mewujudkan rantau yang berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat menjelang 2045.

Beliau berkata di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) ASEAN-WIPO 2023, 40 peratus daripada aktiviti yang dirancang telahpun dilaksanakan, termasuk menaik taraf Daftar IP ASEAN, yang kini menjadi hos kepada hampir 8.3 juta rekod dan menarik 50,000 lawatan setiap hari.

Selain itu, katanya, pelancaran Pangkalan Data Petunjuk Geografi ASEAN hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting, mengukuhkan semua penjenamaan yang berpangkalan di rantau ini, menyokong pengeluar tempatan dan mempamerkan kekayaan budaya ASEAN.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerjasama dengan WIPO didorong oleh visi bersama untuk memanfaatkan kuasa IP sebagai pemangkin kepada inovasi, keterangkuman dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau berkata ini amat penting ketika ASEAN terus memperdalam integrasi ekonomi serantau dan mengukuhkan kapasitinya untuk bersaing dalam ekonomi global yang semakin dipacu pengetahuan.

“Inisiatif ini telah meluaskan peluang untuk perniagaan, usahawan dan industri kreatif kita, di samping memajukan matlamat bersama kita untuk membina ekonomi yang berkembang maju dengan aset tidak ketara.

“Saya yakin melalui kerjasama yang lebih erat dengan WIPO, ASEAN boleh membuka lebih banyak potensi untuk inovator, pencipta dan perusahaan kita, khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), wanita dan belia.

“Dengan cara ini, kita boleh memastikan manfaat IP kita adalah inklusif dan dikongsi secara meluas di seluruh komuniti kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan