JENAYAH & MAHKAMAH

Azam Cadang Rehatkan TPR Terkait Kes Dadah

24/09/2025 12:45 PM

CYBERJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan mencadangkan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang ditahan polis semalam kerana disyaki memiliki dadah, direhatkan daripada menjalankan tugas sementara siasatan dijalankan.

Azam berkata TPR berkenaan baru sahaja melaporkan diri di suruhanjaya itu sebagai pegawai pinjaman dari Jabatan Peguam Negara (AGC) dan insiden berkenaan adalah di luar jangka dan sudah disiasat polis.

“Saya sendiri akan berbincang dan mencadangkan kepada Peguam Negara supaya pegawai ini direhatkan terlebih dahulu untuk tidak menjalankan apa-apa jua pendakwaan kes di mahkamah dan dia pun baru sahaja melaporkan diri kepada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Integrity and Leadership Day di Universiti Multimedia hari ini.

Mengulas mengenai proses tapisan kesihatan termasuk ujian saringan dadah dibuat terhadap pegawai terbabit, Azam berkata perkara itu adalah tertakluk kepada prosedur AGC memandangkan individu berkenaan berkhidmat di bawah jabatan tersebut.

“Sudah tentu (ada) tapisan termasuk ujian saringan dadah dibuat kepada semua penjawat awam termasuk TPR itu. Ini satu perkara yang pada saya, adalah tindakan beliau sendiri yang mengambil dadah dan sebagainya, sekiranya ada,” kata Azam.

Terdahulu, SPRM mengesahkan seorang TPR yang baru melaporkan diri minggu lepas ditahan polis semalam kerana disyaki memiliki dadah.

SPRM memaklumkan TPR terbabit ditahan di kediamannya dan pemeriksaan polis telah menemukan bahan terlarang disyaki dadah di rumah berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan