AM

Komunikasi Digital, Sinergi Strategik Perkukuh Pelan Antidadah - Ahmad Zahid

24/09/2025 11:05 AM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Kerajaan merangka pendekatan baharu berasaskan komunikasi digital, aplikasi pintar dan kolaborasi strategik dalam usaha mengekang penyalahgunaan dadah yang semakin kritikal di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah berkata Pelan Komunikasi Antidadah yang disusun Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu Above the Line (ATL), Through the Line (TTL) dan Below the Line (BTL).

ATL merujuk kepada penyebaran mesej kesedaran melalui televisyen, radio dan dokumentari keluarga penagih, TTL pula menggabungkan kempen media sosial (influencer, TikTok, reels) dan aktiviti bersemuka di sekolah, manakala BTL melibatkan penyampaian mesej antidadah melalui jaringan penggerak masjid dan NGO Islam.

“Pendekatan utama pelan ini ialah komunikasi digital yang bersifat dua hala dan interaktif, selaras dengan gaya hidup generasi muda masa kini.

“Kita menggunakan platform media sosial popular, bekerjasama dengan Netflix dan Meta untuk menyelitkan mesej pencegahan, memperkenalkan chatbot AADK sebagai intervensi awal, serta strategi microlearning melalui kolaborasi e-games seperti Mobile Legends,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata inisiatif itu turut diperkukuh dengan kerjasama kementerian, jabatan, badan bukan kerajaan, sektor korporat serta PEMADAM bagi memastikan matlamat pelan berkenaan tercapai dalam tempoh tiga tahun, dari 2025 hingga 2027.

Menjawab mengenai perbelanjaan besar kerajaan, beliau mendedahkan lebih RM50 bilion telah diperuntukkan untuk aspek pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan, namun jumlah penagih masih meningkat.

Beliau turut menjangkakan peruntukan kewangan akan terus meningkat memandangkan undang-undang kini merangkumi bukan sahaja penagih, tetapi juga penyalah guna dadah.

Menurutnya, berdasarkan statistik AADK, lebih 70 peratus penagih kini beralih daripada dadah tradisional seperti heroin dan morfin kepada dadah sintetik yang memberi kesan lebih kritikal khususnya terhadap fungsi otak.

“Perkembangan ini membuktikan pendekatan sedia ada perlu disesuaikan dengan perubahan trend semasa. Sehubungan itu, semua pendekatan kerajaan kini dilaksanakan seiring pindaan akta dan pelan strategik AADK,” katanya.

Menyentuh kebimbangan terhadap penglibatan kanak-kanak seawal usia 10 tahun, Ahmad Zahid berkata kerjasama sistem pendidikan, keluarga dan agensi penguatkuasaan amat penting bagi menghalang masalah itu daripada berakar umbi.

“Di sekolah, AADK dan Kementerian Pendidikan mengintegrasikan elemen pencegahan dalam kurikulum dan kokurikulum. Terdapat Kem Pintar untuk murid sekolah rendah, Program SHIELDS (Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya) untuk pelajar menengah, selain latihan guru melalui program Great Teacher Organisation,” katanya.

Beliau berkata penglibatan pelajar turut diperkukuh melalui kelab antidadah seperti SKUAD Junior yang berfungsi membina daya tahan diri, manakala ibu bapa diberi pendedahan melalui program Family on Alert dan Famili Resilien sebagai benteng utama melindungi anak-anak.

“Dari segi penguatkuasaan, rondaan dan operasi pencegahan ditingkatkan, selain usaha pembersihan sarang penagihan bersama komuniti. Kempen kesedaran menggunakan platform digital dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendidik masyarakat,” katanya.

Mengulas statistik semasa, Ahmad Zahid berkata Kelantan kekal merekodkan kadar tertinggi penyalahgunaan dadah dengan 758 orang bagi setiap 100,000 penduduk sehingga Jun 2025, diikuti Terengganu (754), Perlis (731) dan Kedah (700).

“Faktor geografi yang berhampiran sempadan, jaringan pengedaran rentas negeri serta tahap sosioekonomi setempat antara punca utama. Walaupun Sabah, Putrajaya dan Labuan merekodkan kadar lebih rendah, pemantauan berterusan tetap diperlukan kerana pengedaran dadah bersifat dinamik,” katanya.

Dengan kedudukan Kelantan yang bersempadan Thailand, beliau berkata kerjasama serantau turut diperkukuh melalui penglibatan AADK dalam mesyuarat ASEAN termasuk ASEAN Senior Officials on Drug Matters dan ASEAN Ministerial Meeting on Drugs.

“Kerjasama ini amat penting bagi menyelaras strategi kawalan rentas sempadan, mengekang bekalan dadah, dan memastikan semua negara rantau ini bertindak secara kolektif,” katanya.

Mengenai kedudukan Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus berusaha mengimbangi pendekatan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan secara menyeluruh.

“Kita negara maritim, cabarannya besar. Tetapi dengan pendekatan pelbagai, penguatkuasaan bersepadu serta sokongan masyarakat, saya percaya kita mampu memperkukuh ketahanan negara,” tegas beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan