IPOH, 24 Sept (Bernama) -- Seorang penolong pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah hari ini didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan palsu elaun penugasan semasa monsun timur laut (MTL), dua tahun lepas.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu selepas K. Rameswaran, 28, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Rameswaran secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen yang diketahui palsu iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Kawalan Keselamatan dan Pemantauan Bencana semasa MTL 2023/2024 Daerah Sungai Siput (U) dari Oktober 2023 hingga Januari 2024 di Pejabat Rela negeri Perak di sini.
Tuntutan elaun itu dibuat atas nama lima anggota RELA lain walaupun mereka didapati tidak pernah menjalankan tugas rondaan semasa musim MTL tersebut, dengan jumlah keseluruhan RM9,408.
Rameswaran, yang bertanggungjawab mengurus, menyokong, dan mengesahkan hal ehwal kewangan petugas bawahannya, didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia G. Nanthini manakala Rameswaran tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial