AM

CDR USM Sedia Jadi Pakar Rujuk Kajian Ketum Dunia

23/09/2025 07:25 PM

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) -- Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (CDR) Universiti Sains Malaysia (USM) terus memacu agenda penyelidikan ketum (Mitragyna speciosa) dengan menghasilkan lebih 150 penerbitan ilmiah, menjadikannya antara yang tertinggi di dunia.

Pengarah CDR USM Prof Dr M.Vikneswaran berkata pusat penyelidikan yang ditubuhkan pada 1978 itu merupakan antara perintis kajian ketum di negara ini bermula sekitar 2009, sebelum berkembang melalui pendekatan rentas disiplin yang menyepadukan farmakologi, toksikologi, kimia analisis, sains klinikal, dasar kesihatan dan sains sosial.

Beliau berkata dengan kepakaran teras, kumpulan penyelidik berkomitmen tinggi serta kemudahan makmal bertaraf antarabangsa, CDR USM konsisten menerajui penjanaan data saintifik yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada negara.

“Justeru, CDR USM bersedia membuka peluang kolaborasi dengan pelbagai pihak, khususnya dalam memperkasa hubungan akademia, industri dan pembuat dasar bagi mengurangkan jurang sedia ada

“Kita berharap lebih banyak pihak peka dengan kewujudan CDR USM yang sentiasa bersedia menjadi rujukan dan dilibatkan dalam sebarang isu yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vikneswaran berharap melalui jaringan kolaborasi tempatan dan antarabangsa serta latihan bakat penyelidikan, CDR USM akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rujukan antarabangsa dalam penyelidikan ketum.

Beliau memaklumkan CDR USM turut diiktiraf oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai perintis utama dalam kajian ketum di rantau ini, selain menerima pelbagai geran tempatan dan antarabangsa.

"Selain itu, pusat ini juga berupaya menerajui standard kualiti, kaedah analitik, serta garis panduan keselamatan dan klinikal," katanya.

Beliau berkata Malaysia seharusnya mampu menjadi pemain utama dalam penyelidikan ketum memandangkan kedudukan geografi negara ini yang unik serta kaya dengan biodiversiti dan habitat semula jadi tumbuhan tersebut.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan Persidangan “Kratom Updates” 2025 dengan kerjasama Badan Riset dan Inovasi Nasional, Indonesia dan Prince of Songkla University, Thailand pada bulan depan akan menyaksikan pelbagai topik dibincangkan merangkumi penggunaan tradisional ketum, kimia, neurosains, farmakologi serta isu kesihatan berkaitannya.

Kratom Updates yang dianjurkan buat kali kedua itu akan menghimpunkan saintis dari Malaysia, Thailand dan Indonesia bertujuan memperkukuh kerjasama serta berkongsi penemuan penyelidikan terkini mengenai ketum dengan melibatkan penyertaan kira-kira 70 peserta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan