EKONOMI

IOI Properties Umum Menara B COVO Di 16 Sierra Habis Terjual, Menara A Jualan Pantas

23/09/2025 04:08 PM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Pembangunan pangsapuri perkhidmatan COVO di 16 Sierra oleh IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencapai satu kejayaan besar dengan Menara B habis terjual manakala Menara A pula menyaksikan jualan pantas.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Teh Chin Guan berkata kemajuan pembinaan COVO mencapai 68 peratus dan mendahului jadual selain syarikat memastikan projek ini berada di landasan tepat untuk siap sepenuhnya menjelang Mei 2027.

IOIPG baru-baru ini meraikan majlis pemasangan struktur tertinggi atas bumbung bagi COVO, pembangunan berorientasikan transit (TOD) pertamanya di perbandaran 16 Sierra seluas 216.51 hektar di Puchong Selatan, Selangor.

Majlis tersebut yang diadakan pada 19 September, menandakan siapnya bahagian tertinggi bangunan berkenaan.

Teh berkata pencapaian ini mencerminkan komitmen IOIPG untuk penyediaan tepat pada masanya sambil memenuhi permintaan yang tinggi dengan projek ini sudah mencapai kadar pengambilan keseluruhan sebanyak 65 peratus.

Dilancarkan pada Mei 2024, COVO terdiri daripada 601 unit pangsapuri perkhidmatan yang terletak di Menara A setinggi 38 tingkat dan Menara B yang rendah.

Saiz unit bermula dari 51.0967 hingga 104.9804 meter persegi, menawarkan pelan fleksibel dengan 1+1, tiga dan empat bilik tidur yang direka khas untuk golongan profesional, pasangan baru berkahwin dan keluarga yang sedang berkembang.

Sesetengah unit terpilih turut mempunyai akses terus ke tempat letak kereta yang memberikan suasana seperti kediaman bertanah.

Pembangunan ini menawarkan keterhubungan lancar dengan akses laluan bertutup terus ke stesen MRT 16 Sierra yang hanya 100 meter jauhnya, membolehkan masa perjalanan kurang daripada 40 minit ke pusat bandar Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia juga merupakan projek bangunan tinggi pertama IOIPG yang diperakui hartanah hijau (GreenRE) dilengkapi dengan tempat pengecasan kenderaan elektrik untuk menggalakkan mobiliti hijau.

COVO turut diiktiraf atas prestasi keselamatan dan kesihatan tempat kerja dengan mencatat skor sebanyak 97.11 peratus di bawah Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Sebagai sebahagian daripada perbandaran 16 Sierra yang dirancang dengan baik, penduduk akan menikmati akses kepada kemudahan gaya hidup dan rekreasi seperti taman berpusat seluas 2.91374 hektar, Amigo Clubhouse, Amigo Social Club serta rangkaian laluan pejalan kaki dan laluan basikal yang bersambung.

16 Sierra boleh diakses melalui lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Maju (MEX) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), menjadikannya mudah dijangkau dari Putrajaya, Puchong dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan