KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- MNRB Holdings Berhad menerusi Tabung Biasiswa MNRB menyalurkan tajaan pendidikan berjumlah lebih RM19.8 juta kepada 736 pelajar sejak penubuhannya, sebagai usaha melahirkan tenaga mahir serta profesional dalam industri insurans dan takaful negara.
Interim Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata biasiswa itu bukan sekadar bantuan kewangan, malah turut menawarkan peluang latihan industri, program pembangunan diri serta bimbingan kerjaya kepada penerima.
“Pendekatan holistik ini menyediakan pengalaman dan kemahiran komprehensif sebagai persiapan untuk menjadi tenaga profesional industri pada masa hadapan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama media baru-baru ini.
Ditubuhkan pada 1 April 1998, Tabung Biasiswa MNRB memberi tumpuan kepada bidang pengajian utama seperti sains aktuari, teknologi maklumat, statistik, sains data, syariah, perakaunan, undang-undang, pengurusan risiko, kejuruteraan dan insurans.
Biasiswa itu ditawarkan untuk pengajian sepenuh masa di peringkat matrikulasi, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda di universiti awam dan swasta tempatan.
Beliau berkata selain pencapaian akademik cemerlang, ciri kepimpinan, penglibatan aktif dalam kokurikulum, nilai integriti, semangat berpasukan dan penglibatan sosial bersama komuniti turut diambil kira dalam pemilihan penerima.
“Kami percaya pelajar yang berkebolehan menyeluruh berpotensi menjadi pemimpin masa depan yang berwibawa,” katanya.
Melalui kerjasama dengan Institut Insurans Malaysia (MII), Tabung Biasiswa MNRB turut diperluas kepada golongan profesional yang berkhidmat dalam industri insurans tempatan melalui tajaan biasiswa pengajian separuh masa Associateship of the Malaysian Insurance Institute (AMII) Tahap 1 dan Tahap 2 di MII.
Selain itu, MNRB merancang menambah lagi tajaan dengan memperluas bidang pengajian yang selari dengan keperluan industri, menerusi kerjasama dengan universiti dalam dan luar negara serta memperluas capaian kepada pelajar luar bandar, termasuk golongan B40 dan M40.
Tahun ini, lebih 500 permohonan diterima, dengan 17 pelajar terpilih setelah melalui proses saringan ketat merangkumi pencapaian akademik, temu duga serta penilaian sahsiah dan kepimpinan.
Rudy Rodzila berkata sebanyak 79 penerima biasiswa kini menjadi sebahagian daripada keluarga MNRB, manakala banyak lagi menyumbang dalam industri dengan memegang jawatan utama dan aktif dalam badan profesional.
“Kira-kira 10 peratus penerima kini bekerja dengan MNRB, ada yang memegang jawatan kanan dalam Kumpulan MNRB dan industri, ” katanya.
Untuk masa depan, MNRB bercadang meningkatkan lebih banyak penerima biasiswa.
“Harapan kami agar penerima biasiswa bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kecekalan dan keazaman menjadi pemimpin berdedikasi yang sentiasa bersedia menyumbang kepada komuniti, industri dan negara,” katanya.
Permohonan biasiswa dibuka setiap tahun melalui laman rasmi MNRB di www.mnrb.com.my serta platform LinkedIn syarikat, dengan maklumat lanjut mengenai syarat dan bidang pengajian diumumkan dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial