FOKUS BERNAMA

PSORIASIS: Bukan Sekadar Masalah Kulit

23/09/2025 11:02 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Kulit kering dan rasa pedih seakan terbakar selain permukaan kulit bersisik dan berdarah, demikian antara keadaan yang dialami oleh penghidap psoriasis, sejenis penyakit kulit kronik.

Keadaan mereka bertambah teruk sekiranya terdedah kepada panas terik matahari atau persekitaran panas yang turut membuatkan penghidap berasa rendah diri untuk berada di khalayak umum.

Menurut pakar, psoriasis berlaku apabila sistem imun badan menjadi terlalu aktif, menyebabkan sel kulit bertumbuh dengan sangat cepat, dan apabila sel-sel kulit ini terkumpul di permukaan, ia akan kelihatan seperti ruam merah yang tebal dan bersisik.

Hingga kini, punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui sepenuhnya, namun selain terkait dengan kelemahan sistem imum kajian turut mendapati faktor genetik dan persekitaran juga memainkan peranan.

  

SISTEM IMUN

Mengulas penyakit itu, Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway Velocity Dr Nur Ashikin Ahmad berkata psoriasis tidak dikategorikan sepenuhnya sebagai penyakit autoimun, sebaliknya merupakan penyakit keradangan kulit yang didorong oleh tindak balas imun berlebihan.

Katanya keadaan itu berlaku apabila sistem imun individu tersebut menyerang sel kulitnya dan secara tidak langsung menyebabkan sel kulit terhasil dengan sangat cepat, iaitu hanya dalam tempoh beberapa hari berbanding beberapa minggu bagi bukan penghidap.

pic-2

“Jika ada ahli keluarga yang menghidap psoriasis, risiko seseorang untuk mendapat penyakit ini lebih tinggi. Selain itu, kita mendapati golongan wanita turut cenderung mengalami psoriasis pada usia lebih muda berbanding lelaki.

“Penyakit ini kebiasaannya boleh terjadi dengan lebih kerap apabila individu itu mengalami stres atau tekanan emosi, berlaku jangkitan kuman dalam badan, kesan daripada ubatan tertentu seperti ubat darah tinggi (beta-blocker), ubat malaria atau steroid yang dihentikan secara mengejut serta pengambilan alkohol dan merokok,’’ katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Dr Nur Ashikin berkata psoriasis berbeza dengan ekzema, namun  agak sukar untuk membezakan kedua-dua penyakit kulit itu yang masing-masing mengakibatkan kulit menjadi gatal dan kemerahan.

“Pakar dermatologi berpandangan terdapat perbezaan ketara antara dua penyakit ini,  yang mana psoriasis boleh menyebabkan ruam kulit kelihatan tebal, merah serta bersisik, dan biasanya terjadi di kawasan seperti siku dan lutut. Psoriasis juga kerap dilihat pada kulit kepala dan badan sementara tahap gatal yang dialami biasanya sederhana.

“Manakala ekzema pula selalunya berlaku di lipatan siku dan belakang lutut . Pesakit sering mengalami kegatalan yang sangat teruk sehingga boleh mengganggu tidur atau aktiviti harian. Penyakit ini (ekzema) tidak menyebabkan sakit sendi dan kuku rapuh dengan lebih kerap, berbanding pesakit psoriasis,” jelasnya.

 

RUAM KULIT

Menurut Dr Nur Ashikin, individu yang mengalami psoriasis akan menunjukkan gejala ruam kering yang tebal dan bersisik pada kulit selain gatal, dan boleh berlaku di bahagian tertentu tubuh dengan corak yang simetri di kedua-dua belah badan.

“Psoriasis juga boleh menunjukkan pelbagai tanda dan simptom lain, bergantung pada jenis psoriasis yang dialami iaitu ‘guttate psoriasis’ (ruam berbentuk tompokan kecil), ‘inverse psoriasis’ (berlaku di lipatan badan seperti ketiak, bawah payudara dan celah paha) serta ‘pustular psoriasis’ (kulit menjadi merah, bengkak diikuti dengan bintil berisi nanah. 

pic-3

“Selain itu, terdapat juga ‘erythrodermic psoriasis’ iaitu penyakit psoriasis yang paling serius dengan hampir keseluruhan kulit badan pesakit menjadi merah, bersisik, gatal dan sakit. Keadaan itu boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera,’’ katanya.

Beliau berkata individu disarankan mendapatkan pemeriksaan daripada pakar kulit sekiranya mengalami tanda-tanda awal psoriasis seperti ruam kemerahan bersisik yang berlarutan serta tidak sembuh meskipun telah disapu krim pelembap.

Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami perubahan pada kuku seperti menjadi rapuh, menebal atau berlekuk selain sakit sendi yang tidak dapat dijelaskan oleh punca lain, terutamanya apabila berlaku bersama-sama dengan ruam kulit.

“Ada pesakit psoriasis yang mengalami masalah kulit semata-mata, ada pula yang melibatkan kulit dan kuku dan ada juga yang mengalami masalah ketiga-tiganya, iaitu kulit, kuku dan sendi.

“Sekiranya tanda-tanda ini muncul, amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan awal daripada pakar kulit bagi memastikan diagnosis tepat dapat dibuat dan rawatan yang sesuai juga harus dimulakan segera.’’ katanya.

 

RAWATAN

Dr Nur Ashikin berkata rawatan bagi psoriasis berbeza bagi setiap pesakit kerana ditentukan oleh beberapa faktor, termasuk tahap keterukan penyakit sama ada ringan, sederhana atau teruk; kehadiran keradangan sendi (psoriatic arthritis) serta kewujudan penyakit lain seperti jantung, kencing manis atau masalah buah pinggang.

Beliau berkata untuk merawat ruam kulit, krim antiradang jenis steroid biasanya digunakan bagi mengurangkan keradangan kulit serta ubat sapuan yang mengandungi asid salisilik untuk melembutkan dan menghilangkan sisik tebal.

Tambahnya, sekiranya ubat sapuan tidak lagi berkesan atau bagi pesakit psoriasis dengan tahap yang lebih teruk (moderate to severe severity), rawatan lain akan dipertimbangkan termasuk fototerapi, iaitu rawatan menggunakan cahaya UVB khas bagi mengurangkan keradangan dan pertumbuhan sel kulit serta ubat makan seperti ‘methotrexate’ (MTX) atau ‘cyclosporine’, bertujuan mengawal sistem imun yang terlalu aktif.

“Bagi pesakit dengan psoriasis yang meluas atau menjejaskan sendi, rawatan lebih agresif diperlukan antaranya suntikan biologik, iaitu rawatan moden yang menyasarkan bahagian tertentu dalam sistem imun dan sangat berkesan untuk mengawal psoriasis teruk.

pic-4

“Namun pesakit diminta berwaspada dengan mana-mana ubat-ubatan yang dijual secara dalam talian yang mengandungi steroid tersembunyi serta boleh membahayakan jika digunakan tanpa kawalan doktor,’’ nasihatnya.

Mengulas lanjut, Dr Nur Ashikin berkata hingga kini belum ada rawatan yang mampu menyembuhkan psoriasis secara kekal.

Bagaimanapun katanya ubat-ubatan sedia ada dan terapi moden yang berkesan disifatkan berupaya mengawal keradangan, mengurangkan gejala serta mencegah komplikasi penyakit itu dalam jangka panjang.

Beliau turut menyarankan individu yang mempunyai psoriasis agar menjaga pemakanan bagi mendapatkan berat badan ideal selain pemakanan itu sendiri mempengaruhi dan memberi kesan kepada keadaan kulit pesakit.

“Pesakit yang mengalami obesiti cenderung mendapat psoriasis yang lebih teruk kerana sel lemak akan menghasilkan bahan kimia yang mampu mencetuskan keradangan kulit. Elakkan juga makanan tinggi lemak tepu, gula dan makanan diproses kerana ia juga boleh meningkatkan keradangan.

‘’Ambil makanan yang kaya dengan antioksidan dan asid lemak omega-3 seperti sayuran hijau, buah-buahan, ikan dan kekacang, kerana ia berpotensi membantu mengurangkan gejala psoriasis,” tambahnya.

 

SOKONGAN

Dalam pada itu, Dr Nur Ashikin mengakui psoriasis bukan sekadar masalah kulit, tetapi turut memberi kesan besar terhadap emosi dan keyakinan diri pesakit.

pic-5

Ramai yang berdepan dengan rasa malu, rendah diri dan tertekan akibat stigma masyarakat yang sering memandang serong terhadap keadaan kulit mereka, katanya.

Justeru, pesakit disarankan berjumpa dengan kaunselor atau pakar psikologi untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan emosi.

“Menyertai kumpulan sokongan atau persatuan pesakit psoriasis boleh membantu mereka berasa tidak keseorangan. Berkongsi pengalaman bersama-sama orang lain yang senasib dapat meningkatkan semangat dan keyakinan diri.

“Selain itu, pesakit disaran mengawal gejala psoriasis dengan rawatan yang betul. Berjumpa dengan pakar kulit (dermatologis) penting untuk mendapatkan rawatan terkini dan berkesan. Apabila gejala terkawal, pesakit akan lebih selesa, sekali gus mengurangkan kesan stigma masyarakat,’’ katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan