KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) bekerjasama dengan Meta, SoftBank Corp, IPS Inc, PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk dan NEC Corporation untuk membangunkan sistem kabel dasar laut Candle yang menghubungkan negara-negara ASEAN ke Jepun.
Candle yang dijadualkan mula beroperasi pada 2028 adalah sistem kabel dasar laut sepanjang 8,000 kilometer dengan 24 pasang gentian, yang menghubungkan Jepun, Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Taiwan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kesemua pihak berkata projek berkenaan akan menyumbang kepada pengembangan infrastruktur dan menyediakan laluan tambahan yang selamat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap komunikasi data, dipacu rangkaian 5G dan kecerdasan buatan (AI).
“Sistem kabel ini akan menjadi antara yang terawal di rantau Asia Pasifik menggunakan kabel dengan 24 pasang gentian, membolehkan kapasiti trafik yang lebih tinggi bagi menyokong permintaan komunikasi yang semakin berkembang di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Candle, Don Pang, memandangkan keperluan yang semakin meningkat terhadap kesalinghubungan yang kukuh dan berkelajuan tinggi, Candle akan menyediakan kepelbagaian rangkaian dan daya tahan yang lebih besar dalam koridor penting ini dengan memanfaatkan teknologi terkini.
“Pencapaian ini mencerminkan kerjasama mendalam dalam kalangan rakan kerjasama kami dan menegaskan komitmen bersama dalam memajukan keterangkuman digital dan peluang ekonomi kepada lebih setengah bilion penduduk di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata penyertaan syarikat itu dalam projek sistem kabel dasar laut Candle memperlihatkan komitmen TM dalam membangunkan infrastruktur digital berdaya tahan, selaras dengan pertumbuhan permintaan terhadap perkhidmatan digital dan inovasi berasaskan awan serta AI di seluruh Asia.
Menurutnya projek ini akan memperkukuh keupayaan TM bagi menyokong hiperskala, perusahaan dan penyedia perkhidmatan global untuk meluaskan operasinya di seluruh ASEAN sambil memperkasakan peranan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.
“Inisiatif ini menyokong aspirasi kami untuk menjadi kuasa digital menjelang 2030, menghubungkan Malaysia dengan negara-negara lain, dan negara-negara lain dengan Malaysia,” kata Amar Huzaimi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial