EKONOMI

ASEAN Akan Rancakkan Semula Perdagangan Intrarantau - Tengku Zafrul

23/09/2025 11:53 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- ASEAN akan mempergiat usaha untuk memperkukuh penyepaduan ekonomi serantau dan merancakkan semula perdagangan intrarantau yang masih mendatar pada sekitar 20 hingga 22 peratus berikutan landskap perdagangan global yang semakin tidak menentu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga berkata berlandaskan jumlah penduduk hampir 700 juta, ASEAN merupakan antara asas pengguna terbesar dan paling dinamik di dunia serta memiliki potensi yang sangat cerah.

“Usaha untuk melonjakkan perdagangan intra-ASEAN secara strategik bukan sekadar satu aspirasi ekonomi.

“Usaha itu kini menjadi kepentingan strategik untuk membina rantau yang lebih berdaya tahan, berdikari dan berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN ke-39 di sini, hari ini.

Menurut laporan, perdagangan intra-ASEAN kini hanya membentuk 21.2 peratus daripada jumlah perdagangan rantau ini pada 2024, jauh ketinggalan berbanding blok lain seperti Kesatuan Eropah (EU)  yang mencatatkan tahap perdagangan intra-EU sebanyak 60 peratus.

Tengku Zafrul turut menekankan keperluan untuk ASEAN mempertingkat usaha dalam mengatasi cabaran pelaksanaan yang berterusan.

Beliau berkata ASEAN perlu mempercepat pemudahan perdagangan serta menambah baik kesalinghubungan fizikal, digital dan pengawalseliaan di seluruh rantau ini.

“Mengenai integrasi dan daya tahan ekonomi ASEAN, saya gembira ASEAN telah memulakan proses Penambahbaikan ATIGA (Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN) pada 2022, berjaya memuktamadkan rundingan, dan kini berada di landasan untuk menandatangani perjanjian itu pada Sidang Kemuncak akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan