Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Rasionalisasi subsidi RON95 menunjukkan pencapaian penting dalam usaha pembaharuan struktur ekonomi Malaysia, dengan pengurangan perbelanjaan subsidi dijangka membantu mengurangkan defisit fiskal serta menambah baik kaedah pengurusan hutang kerajaan.
Pakar ekonomi Mohd Sedek Jantan yang juga Pengarah IPPFA Sdn Bhd berkata subsidi bersasar RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) boleh memperkukuh konsolidasi fiskal di samping memastikan manfaatnya disalurkan kepada kumpulan paling layak menerimanya.
“Ini juga boleh menyumbang secara tidak langsung kepada pengukuhan imbangan akaun semasa dengan mengurangkan pergantungan kepada bahan api diimport,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Kementerian Kewangan (MoF) menganggarkan subsidi bersasar ini boleh menjana penjimatan fiskal tahunan kira-kira RM8 bilion daripada hampir RM20 bilion yang dibelanjakan sebelum ini untuk RON95.
Mengulas mengenai penjimatan berkenaan, Mohd Sedek berkata, ia bukan sekadar hasil fiskal yang menguntungkan.
"Sekiranya dilaburkan semula dengan berhemat, penjimatan ini boleh memberikan kesan pengganda melalui galakan pelaburan swasta dalam infrastruktur, pendigitalan dan perbelanjaan sosial," katanya.
Konsolidasi Tingkatkan Ruang Fiskal, Kurangkan Pembiayaan Defisit dan Sokong Penarafan Kredit
Mengenai kedaulatan fiskal, beliau berkata konsolidasi ini boleh menambah baik ruang fiskal Malaysia, mengurangkan keperluan pembiayaan defisit dan memberi isyarat positif kepada agensi penarafan kredit.
"Disiplin fiskal yang lebih kukuh mempertingkat profil kredit negara, mengurangkan premium risiko dan menyokong kestabilan makroekonomi.
“Dengan mengehadkan subsidi struktur, kerajaan secara tidak langsung memperkuat kedudukan luarnya berikutan ketirisan fiskal yang berkurangan akan menambah baik imbangan akaun semasa serta keyakinan pelabur terhadap kemampanan hutang jangka panjang Malaysia," katanya.
Pada asasnya, beliau berkata sekiranya inisiatif ini dilaksanakan dengan disiplin dan keterbukaan, ia boleh menyumbang kepada kecekapan fiskal dan keadilan sosial, yang menjadi ciri utama ekonomi berdaya tahan dan mesra pelabur.
Profesor Madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut bersetuju bahawa kerajaan akan mencapai penjimatan apabila warga asing dan syarikat-syarikat besar dikenakan harga pasaran bagi RON95.
Beliau berkata penjimatan itu yang dianggarkan MoF kira-kira RM8 bilion setahun akan menyokong konsolidasi fiskal dan boleh disalurkan semula kepada inisiatif bagi membantu kumpulan sasar.
“Penjimatan ini boleh disalurkan ke arah memperkukuh langkah fiskal sedia ada dan bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.
Malaysia menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 dan seterusnya kepada kira-kira 3.4 peratus pada 2026 daripada 4.1 peratus pada 2024.
Selain itu, turut disasarkan adalah penurunan nisbah hutang kepada KDNK kepada di bawah 60 peratus dalam jangka sederhana daripada 64.6 peratus pada 2024.
Jangkaan Tekanan Inflasi Sederhana
Ketika ditanya mengenai potensi tekanan inflasi berikutan pelaksanaan ini, Mohd Sedek berkata kesannya dijangka sederhana berikutan penjimatan isi rumah mungkin disalurkan kepada barangan keperluan dan rekreasi sekali gus menyokong permintaan domestik tanpa menjejaskan kemampuan membeli barangan asas.
“Dalam konteks ini, langkah untuk menyasarkan subsidi RON95 mengelakkan inflasi tolakan kos yang ketara di samping mengimbangkan semula pola penggunaan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya.
Sementara itu, Ahmed Razman bersetuju bahawa syarikat logistik mungkin berdepan beberapa kesan inflasi kerana harga RON95 akan meningkat lebih 20 peratus jika melebihi kelayakan bulanan 300 liter.
Bagaimanapun katanya, dengan penguatkuasaan berterusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, syarikat tidak dapat mengenakan harga produk atau perkhidmatan yang terlalu tinggi dengan mengambil peluang daripada keadaan itu.
Melalui BUDI95, semua rakyat Malaysia layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 hingga 300 liter sebulan manakala pemandu e-hailing atau e-panggilan diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial