PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula esok hingga 7 Okt ini susulan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) .
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penukaran cip MyKad boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara.
Beliau berkata kemudahan tersebut dianggar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM714,660 termasuk kos lain yang berkaitan kepada kerajaan.
"Berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata Kerajaan MADANI menanggung sepenuhnya kos tersebut bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi tidak terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar.
"Saya menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik, kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95.
"Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat Malaysia menerima manfaat yang dijanjikan tanpa ada yang tercicir," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept ini menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 melibatkan anggaran 16 juta orang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial