TAPAH, 22 Sept (Bernama) -- Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Santuni MADANI yang dianjurkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kampung Cegar di sini menjadi platform merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata program itu sebahagian daripada inisiatif Satu Pemimpin, Satu Kampung, yang bertujuan memberikan ruang kepada pengurusan dan petugas MIDA menyantuni penduduk kampung berkenaan dengan menghulurkan bantuan, meningkatkan empati, pemahaman dan cakna dengan cabaran sebenar yang dihadapi komuniti setempat.
“Penganjuran program kali ini disertai lebih 400 penduduk kampung. Tiga program terdahulu di kampung ini yang bermula sejak 2024, melibatkan program seminar Rekabentuk Pembungkusan dan Pemasaran, motivasi kerjaya lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan amal jariah.
“Matlamat utama panganjurannya ialah untuk mendengar denyut nadi penduduk desa agar agensi dan jabatan kerajaan lebih memahami isu sebenar di kampung, seterusnya mencari ruang untuk membantu,” katanya ketika ditemui Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani di sini semalam.
Beliau berkata MIDA bukan sahaja agensi yang berperanan menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia, malah turut memikul tanggungjawab memperkasa kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat.
“Program CSR seperti di Kampung Cegar ini mencerminkan tekad kami untuk mendekati komuniti akar umbi, menyantuni keperluan rakyat serta memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Selain mendekati masyarakat, Sikh Shamsul Ibrahim berkata pihaknya berhasrat memperkenalkan penduduk kepada peluang keusahawanan digital dan perniagaan dalam talian sebagai langkah ke arah menjadikan Kampung Cegar perintis kepada konsep kampung pintar.
“Walaupun peruntukan infrastruktur bukan bidang kuasa kami, MIDA bersedia menjadi pemudah cara dengan agensi berkaitan supaya masalah setempat dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata program dua hari bermula Sabtu lepas itu yang digerakkan oleh Kelab MIDA, Kelab Golf MIDA dan Koperasi MIDA (KOMIDA) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cegar, diperkasa dengan pelbagai pengisian antaranya program kesihatan, gotong-royong memasak, keraian makan malam, sukan dan sukaneka rakyat, taklimat perniagaan serta tayangan wayang pacak.
“Semua lapisan masyarakat daripada anak kecil hingga warga emas turut serta kerana inilah kesempatan untuk memperkukuh rasa kekitaan antara satu sama lain. Ini menunjukkan CSR yang dilaksanakan MIDA benar-benar memberi manfaat, bukan sekadar simbolik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Cegar Lokman Mohamed Ali menzahirkan penghargaan terhadap penganjuran program yang disifatkan beliau memberi impak positif kepada komuniti luar bandar.
Beliau berkata program itu bukan sahaja merapatkan hubungan penduduk dengan agensi kerajaan, malah memberi ruang untuk menyuarakan keperluan asas infrastruktur yang masih diperlukan di kampung berkenaan.
“Sebagai contoh, taklimat perniagaan yang diadakan sempena program ini bagi saya ia sesuatu yang baharu dan membuka perspektif kepada penduduk terhadap peluang menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.
“Saya selaku wakil penduduk berharap usaha sebegini dapat diteruskan kerana ia mampu memperkasa ekonomi kampung dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
MIDA terus memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan pelaburan di Perak, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik untuk menjana peluang pekerjaan khususnya untuk rakyat negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial