AM

BUDI95: JPJ Tambah Waktu Operasi Kaunter Di Seluruh Negara

22/09/2025 03:06 PM

PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata penambahan waktu operasi kaunter terlibat akan berkuat kuasa pada Sabtu ini (27 Sept) hingga 26 Okt di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negara.

"JPJ bersiap siaga dan bersedia untuk menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hari Jumaat dan Sabtu (di Kelantan, Terengganu, Kedah) serta hari Sabtu dan Ahad (di negeri lain).

"Langkah ini bagi memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk membaharui lesen memandu," katanya.

Aedy Fadly berkata terdapat sejumlah 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif, iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun manakala sejumlah 15.2 juta merupakan pemegang lesen CDL aktif, iaitu masih berkuat kuasa.

"JPJ mengambil kesempatan ini ingin mengingatkan bahawa bagi pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun, individu terbabit diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP 02 dan KPP 03) di mana-mana Institut Memandu berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu," katanya.

Bagi pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun, Aedy Fadly berkata mereka diseru untuk segera memperbaharu lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kios, tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka.

"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh, di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah," katanya.

Terdahulu, Anwar hari ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Kesemua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi itu. Berdasarkan data daripada JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta orang dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan