KUANTAN, 21 Sept (Bernama) -- Disiplin, taktikal dan sokongan padu peminat menjadi kunci kejayaan skuad futsal negara menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 pada aksi Kumpulan G, Kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Ketua jurulatih negara Rakphol Sainetngam berkata meskipun kemenangan tipis itu diperoleh, ia sudah memadai untuk memastikan tiga mata berharga, sekali gus membuka ruang lebih luas bagi Malaysia mara ke pusingan seterusnya.
“Terima kasih kepada pemain saya. Hari ini mereka bermain dengan baik dan mengikut taktikal yang dirancang. Kadang-kadang mereka masih tidak konsisten kerana muda dan ini adalah perlawanan besar. Tetapi yang paling penting, kami berjaya dapatkan tiga mata.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada penyokong, kerana tanpa mereka mungkin pasukan tidak dapat bertahan sehingga wisel penamat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Tertutup SUKPA di sini, malam tadi.
Mengulas mengenai aksi menentang Bangladesh esok (Isnin), beliau berkata cabaran lebih getir menanti, namun berharap skuad negara dapat menambah tiga mata.
Sementara itu, pengendali UAE Ricardo Camara Sobral menerima kekalahan itu dengan hati terbuka, namun tetap berbangga dengan prestasi pasukannya.
“Dalam sukan, ada masa kita menang dan ada masa kita kalah. Pemain saya beraksi baik, tetapi satu kesilapan ketika beralih kepada strategi ‘power play’ pada penghujung perlawanan telah mengubah segalanya,” katanya.
Beliau berkata keputusan itu terpaksa diambil kerana sedar seri tanpa jaringan tidak memadai selain mahu menampilkan aksi berkualiti buat penonton.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial