KAJANG, 28 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 626 banduan lelaki dan wanita di seluruh negara dilepaskan secara berlesen sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, kata Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Kemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang.
Beliau berkata pemilihan dilakukan oleh jawatankuasa khas di bawah Komisioner Penjara dengan 77 daripadanya terdiri daripada banduan di Kompleks Penjara Kajang.
“Hanya yang benar-benar layak diberi peluang kembali ke pangkuan keluarga, majikan atau ditempatkan di rumah perantaraan. Pemilihan dibuat berdasarkan syarat ketat termasuk tempoh hukuman minimum, rekod disiplin baik serta lulus ujian psikologi,” katanya pada sidang media selepas program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sempena Hari Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Ahmad Faudzi berkata PBSL bukan sahaja memberi peluang kedua kepada banduan untuk kembali ke dalam masyarakat, malah membantu kerajaan menjimatkan kos pengurusan penjara.
“Pada 2024, Jabatan Penjara telah menjimatkan lebih RM29 juta melalui pelaksanaan program ini. Setakat Julai tahun ini sahaja, penjimatan mencecah RM18.1 juta,” katanya.
Setakat Julai lepas, 13,844 banduan dilepaskan secara berlesen, manakala secara keseluruhan lebih 23,000 banduan diberi pelepasan sama ada melalui lesen, parol atau Perintah Kehadiran Wajib (PKW).
Mengulas kadar kesalahan berulang dalam kalangan bekas banduan yang mengikuti program pelepasan, Ahmad Faudzi berkata ia kekal rendah pada paras 0.8 peratus, membuktikan keberkesanan usaha pemulihan dan sokongan majikan.
“Sebagai contoh, ada bekas banduan yang bermula bekerja di restoran makanan segera dan berjaya naik hingga ke jawatan pengurus. Ini membuktikan penglibatan majikan memberi impak besar dalam proses transformasi mereka,” katanya.
Ahmad Fauzi berkata, Jabatan Penjara turut bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memperluas peluang pekerjaan kepada bekas banduan sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Sementara itu, seorang prospek yang terpilih menyertai PBSL dan hanya mahu dikenali sebagai Michael, 36, berazam untuk menggunakan peluang berkenaan sebaik mungkin, sambil mengakui pengalaman di penjara memberi pengajaran besar.
“Akibat satu kesilapan membabitkan pelaburan, saya menerima hukuman tiga tahun penjara. Sangat tidak berbaloi kerana terpaksa berpisah daripada keluarga. Saya berharap ada majikan yang akan menerima saya bekerja kerana saya mempunyai lapan tahun pengalaman bekerja dalam sektor korporat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial