JENAYAH & MAHKAMAH

Insiden Tembak Tular Di Behrang: Polis Sahkan Tahan Lelaki Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah

20/09/2025 07:58 PM

TELUK INTAN, 20 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah dalam satu insiden tular di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tengah hari tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata suspek dari arah Manjung menghala ke Kuala Lumpur berjaya ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah yang melakukan rondaan cegah jenayah kira-kira 12.30 tengah hari.

Beliau berkata berlaku kejadian kejar antara polis dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz dinaiki suspek berusia 35 tahun dari arah Tapah sehingga ke lokasi kejadian.

“Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan dipandu suspek dan polis menemukan pelbagai peralatan yang digunakan untuk pecah rumah termasuk jaket polis di dalam kenderaan suspek.

“Ini adalah kolaborasi yang baik antara (polis) daerah bekerja dalam satu pasukan sehingga berjaya menangkap suspek,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Ter..Paling Pahlawan Challenge 2025 anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy di sini hari ini.

Noor Hisam bagaimanapun berkata pihaknya masih mengesan dua lagi MPV jenis Toyota Hilux dan Perodua Alza yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan.

“Insya-Allah kami dapat menyelesaikan kes ini dengan tertangkapnya suspek utama,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video sekumpulan anggota polis mengejar dan menahan kenderaan penjenayah yang dipandu melawan arus sebelum suspek memasuki semula lebuh raya berkenaan.

Dalam video itu, kedengaran bunyi tembakan sebelum MPV dipandu suspek berjaya dipintas dan dihalang, sebelum pemandunya ditarik keluar oleh anggota polis dari dalam kenderaan berkenaan.

Suspek kemudian dilihat diarah berbaring di bahu jalan sebelum pihak polis melakukan pemeriksaan pada kenderaan suspek. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan