GEORGE TOWN, 20 Sept (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) memperuntukkan RM2.8 juta sebagai bantuan pendidikan kepada 280 Siswa Sulung, iaitu pelajar generasi pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi Sidang Akademik 2025/2026.
Naib Canselor USM Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata peruntukan itu membolehkan pelajar menikmati pengecualian penuh yuran pengajian, yuran pendaftaran, yuran berulang serta pelbagai yuran akademik lain sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun di universiti berkenaan.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen USM dalam menyediakan akses pendidikan yang adil dan menyeluruh kepada pelajar kurang berkemampuan dengan memastikan mereka menerima sokongan kewangan, akademik, sosial dan kebajikan yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan.
“USM sebagai sebuah universiti bersifat mesra warganya, memberi peluang sama rata kepada semua pelajar terutama mereka yang berasal dari latar belakang kurang berkemampuan.
“Melalui pendekatan sokongan holistik ini, kami berusaha mengurangkan cabaran kewangan dan membina kekuatan sahsiah dan kemahiran insaniah yang akan memacu kejayaan mereka semasa di kampus dan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahman berkata USM turut menyediakan sokongan akademik melalui Modul Pembangunan Insaniah Siswa Sulung agar pelajar terlibat dapat berdaya saing sejajar dengan pelajar lain.
Dalam pada itu, USM turut menyediakan Kit Keperluan Asas kepada pelajar baharu yang akan disalurkan bermula 26 Sept ini untuk memudahkan peralihan mereka dari rumah ke asrama, tanpa perlu membeli barangan asas sendiri.
Terdahulu, Abdul Rahman telah menyantuni pasangan kembar Ajwaa dan Najwaa Abdul Hadi di rumah mereka di Kampung Guar Syed, Penaga dekat sini bagi menyampaikan sendiri surat tawaran melanjutkan pengajian di USM.
A’jwaa telah ditawarkan Program Pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Agrobiologi / Bioteknologi / Biologi Persekitaran / Entomologi dan Parasitologi manakala Najwaa pula pengajian Sarjana Muda Sains dalam Matematik.
A’jwaa merupakan anak ketiga dan Najwaa yang keempat daripada tujuh beradik manakala bapanya berusia 48 tahun bekerja sebagai seorang tukang kimpal besi dengan pendapatan tidak menentu kerana bergantung kepada tempahan pelanggan dan pernah menjadi nelayan sebelum ini.
Ibu mereka seorang suri rumah berusia 47 tahun dan mengambil upah mengasuh kanak-kanak dengan pendapatan RM350 sebulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial