DUNIA

Prabowo Mulakan Lawatan Luar Negara Dengan Persinggahan Di Osaka Sebelum UNGA

20/09/2025 12:54 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 20 Sept (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto memulakan lawatan diplomatik ke beberapa negara, bermula dengan persinggahan di Osaka, Jepun, sebelum menuju ke New York bagi menghadiri sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau tiba di Osaka pada pagi Sabtu, diiringi Menteri Luar Sugiono dan Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya selepas berlepas dari Jakarta pada malam sebelumnya, menurut kenyataan Sekretariat Presiden.

Semasa persinggahan itu, Prabowo dijadual melawat Pavilion Indonesia di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, mempamerkan inovasi, kemampanan dan kerjasama antarabangsa pada acara global yang disertai 158 negara.

Prabowo seterusnya akan berangkat ke New York dan dijadual menyampaikan ucapan negara pada Perbahasan Umum UNGA pada 23 Sept, selepas ucapan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Menurut Teddy, penyertaan Prabowo mencerminkan tekad Indonesia untuk memperkukuh profil diplomatiknya.

“Perhimpunan Agung tahun ini adalah detik penting bagi Indonesia, bukan sahaja untuk tampil pada peringkat tertinggi forum PBB, tetapi juga menegaskan kembali kedudukan Indonesia sebagai pemimpin Global South yang konsisten memperjuangkan tatanan dunia lebih adil dan inklusif,” katanya.

Bercakap pada satu acara sempena pelantikannya sebagai jurucakap Kementerian Luar Rabu lalu, Yvonne Mewengkang mengesahkan isu Palestin akan menjadi antara topik utama yang dibangkitkan oleh Prabowo, manakala isu-isu lain masih dimuktamadkan.

Selepas New York, Prabowo akan meneruskan perjalanan ke Ottawa pada 24 Sept untuk mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Kanada Mark Carney, diikuti lawatan ke The Hague pada 26 Sept bagi bertemu Raja Belanda Willem-Alexander dan Perdana Menteri sementara Dick Schoof.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan