KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 dijangka mencapai sasaran jualan mencecah RM4.5 bilion, berdasarkan maklumat awal Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), kata Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MIHAS telah berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM4.1 bilion dalam tempoh dua hari pertama acara itu.
Pada masa sama, beliau berkata Malaysia sedang berusaha melonjakkan halal sebagai pemacu inovasi bertanggungjawab bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
“Menerusi usaha mengembangkan perdagangan halal, Malaysia tidak hanya meraih nilai daripada sektor global yang pesat berkembang, tetapi turut melindungi daripada sebarang ketidaktentuan dalam komoditi tradisional sambil mengukuhkan peranan kita sebagai penghubung antara dunia Muslim dan pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul juga menyifatkan industri halal Malaysia yang bernilai RM62 bilion serta disokong oleh acara seperti MIHAS, berperanan sebagai strategi ekonomi berpandangan jauh yang mengukuhkan lagi daya tahan, meningkatkan pengaruh (kehadiran di peringkat global) dan menjamin hala tuju baharu demi kesejahteraan rakyat negara ini.
Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata prestasi INSP kali ini yang lebih kukuh, hanya membuktikan lagi permintaan global terhadap tawaran halal Malaysia.
“Bersandarkan MIHAS dan platform digital yang ada, kita membolehkan pengeksport Malaysia dihubungkan dengan pembeli global yang bernilai tinggi selain membuka peluang baharu,” katanya.
Dalam pada itu, MATRADE berkata program INSP yang juga tonggak MIHAS 2025, menyaksikan lebih daripada 4,000 mesyuarat perniagaan melibatkan 600 peniaga Malaysia dan 300 pembeli antarabangsa, termasuk peruncit dan pasar raya besar terkemuka dengan gabungan hasil tahunan melebihi RM1.5 trilion.
Program yang turut dilengkapi dengan komponen secara maya dan berlangsung sehingga 5 Nov, 2025, juga telah mencatat angka jualan besar dan dijangka melebihi pencapaian rekod penanda aras baharu RM2.52 bilion pada tahun lepas.
Ini, katanya, turut memperkukuh hubungan dagang Malaysia merentasi ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk, Eropah, negara-negara Afrika dan Amerika.
MIHAS 2025 anjuran MATRADE, berlangsung pada 17-20 September dan bertemakan “Pinnacle of Halal Excellence” (Mercu Keunggulan Halal) dan mengetengahkan sebanyak 2,400 reruai dengan penyertaan pempamer dan pembeli dari 80 negara serta dijangka menarik kehadiran 45,000 pengunjung.
Seiring dengan penganjurannya yang juga edisi ke-21, MIHAS 2025 turut membuktikan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global dalam ekonomi halal.
Menurut MATRADE, bagi kemajuan masa depan, MIHAS dijangka memperluas jangkauan globalnya dengan MIHAS@Shanghai yang akan berlangsung pada 5-11 Nov, 2025 bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China, kata MATRADE.
Selain itu, terdapat perancangan untuk membawa jenama MIHAS ke Eropah pada tahun depan.
Sejak dimulakan pada 2004, MIHAS berjaya menjana hampir RM30 bilion dalam jualan eksport selain menarik lebih setengah juta pengunjung perniagaan dari serata dunia.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial