AM

Kemalangan Pesawat F/A-18D Hornet Kerana Terlanggar Burung

18/09/2025 03:34 PM

KUANTAN, 18 Sept (Bernama) -- Kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 21 Ogos lepas berpunca daripada pelanggaran dengan burung, kata Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris. 

Beliau berkata hasil siasatan Lembaga Siasatan TUDM mendapati kesan pelanggaran seekor burung bangau yang berada di atas landasan telah menyebabkan kegagalan fungsi enjin kiri pesawat itu. 

“Penemuan itu adalah berdasarkan analisa kamera litar tertutup (CCTV), analisa daripada sistem perakam penerbangan dan pemeliharaan rekod dengan bantuan Tentera Laut Amerika Syarikat, data teknikal serta analisa yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara,” katanya.

Beliau yang ditemui di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini berkata pengoperasian pesawat F/A-18D Hornet akan diteruskan seperti biasa, dengan pesawat itu telah menjalani latihan penerbangan untuk melihat keadaan semasa. 

“Saya rasa yakin bahawa tiada (masalah pesawat) yang boleh menjurus kepada (masalah) teknikal dan lebih kepada kejadian yang tidak dapat dielakkan iaitu kemasukan burung yang agak besar dan menyebabkan pesawat itu tidak dapat berlepas pada malam berkenaan,” katanya. 

Muhamad Norazlan berkata kemalangan itu dikenal pasti berlaku ketika pesawat F/A-18D Hornet berlepas dengan kelajuan 146 knot pada ketinggian hampir 10 meter, sebelum kedua-dua anak kapal itu melompat keluar kira-kira 50 meter daripada pesawat berkenaan.

Beliau berkata pihak pangkalan penerbangan juga telah memastikan landasan itu dalam keadaan selamat digunakan selepas kerja-kerja pengusiran burung dijalankan.

“Mungkin seekor burung berada di landasan pada masa dan lokasi yang tidak sesuai, sekali gus menyebabkan pelanggaran itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, serta jurusensor senjata Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, kini dalam proses pemulihan dan dijangka kembali bertugas pada 2 Okt ini.

“Mereka masih berehat dan hadir secara berkala untuk pemeriksaan perubatan. Jika keadaan mengizinkan, mereka akan memulakan latihan menggunakan simulator sebelum kembali meneruskan penerbangan seperti biasa,” katanya.

Pada 21 Ogos lepas, media melaporkan dua anggota TUDM cedera selepas terbabit dalam insiden kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan