AM

Kendalikan Isu Tanah Kampung Baru Secara Teliti, Utama Kepentingan Orang Melayu - Sultan Selangor

18/09/2025 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru di sini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu, juga dikenali sebagai Kampung Baru, hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun syarat-syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu.

“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa kawasan itu telah ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan nenda baginda iaitu Sultan Selangor Kelima Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Jan 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).

“Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara,” titah baginda. 

Baginda turut mengimbas pengalaman peribadi apabila pernah menetap dan belajar di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampung Baru ketika Almarhum paduka ayahanda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.

Allahyarham paduka ayahanda Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga dilahirkan di kawasan itu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar.

“Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

“Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka,” titah baginda sambil menambah bangunan warisan kelab itu masih menjadi hak milik Kerajaan Negeri Selangor. 

Sultan Sharafuddin bertitah Kampung Baru juga pernah menempatkan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, selain Masjid Jamek Kampung Baru yang diputuskan untuk kekal di lokasi sedia ada sejak dirasmikan oleh Sultan Selangor Keenam iaitu Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.

“Sesungguhnya, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak 1900. Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.

“Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang,” titah baginda. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan