PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini memberikan kebenaran merayu kepada bekas pemandu e-hailing terhadap sabitan cuba memeras ugut RM30,000 daripada anak seorang pastor serta hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan ke atasnya.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Lam Chang Nam atas satu persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan semasa perbicaraan penuh.
Hakim lain terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju menyerahkan persoalan undang-undang untuk ditentukan.
Persoalan undang-undang berkenaan adalah sama ada penyertaan peruntukan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dalam pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang dengan sendirinya memperuntukkan percubaan untuk melakukan pemerasan, menjadikan pertuduhan tersebut cacat apabila pertuduhan itu turut menyatakan "telah melakukan pemerasan".
Pada 24 Mac 2023, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mendapati Lam bersalah kerana cuba memeras ugut RM30,000 daripada anak Pastor Raymond Koh yang hilang, kononnya bagi membebaskan bapanya.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya, Selangor pada 9.46 malam, 6 Mac 2017.
Permohonan rayuan Lam terhadap sabitan dan hukumannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mei tahun ini justeru mendorongnya untuk membawa kes ke Mahkamah Rayuan.
Lam, 39, didakwa di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama.
Susulan kes berasal daripada Mahkamah Majistret, Lam dikehendaki oleh undang-undang untuk mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuannya di peringkat Mahkamah Rayuan.
Terdahulu semasa prosiding, ketika ditanya oleh Hakim Noorin, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee menjelaskan bahawa Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang secara khusus menangani kesalahan cubaan melakukan jenayah, termasuk dalam pertuduhan kerana perkataan "melakukan pemerasan" telah digunakan dalam kertas pertuduhan.
Beliau berkata timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan di Mahkamah Majistret tidak meminda pertuduhan dengan betul dengan memasukkan "cubaan memeras ugut" namun sebaliknya memasukkan peruntukan Seksyen 511 dalam kertas pertuduhan untuk merangkumi unsur percubaan.
Pada 8 Feb 2021, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Lam daripada pertuduhan berasingan menculik Pastor Koh selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu bagaimanapun pertuduhan cubaan memeras ugut diteruskan.
Pastor Koh diculik oleh beberapa suspek pada 13 Feb 2017 ketika waktu siang.
Dalam prosiding hari ini, Lam diwakili peguam M. Manoharan dan M. Hariharan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial