AM

MBSP Arah Pemaju Tapak Pembinaan Di Bukit Mertajam Henti Kerja Ekoran Banjir, Lumpur

17/09/2025 06:56 PM

BUKIT MERTAJAM, 17 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengarahkan sebuah syarikat pemaju projek perumahan untuk menghentikan kerja serta-merta di tapak susulan insiden banjir kilat dan tanah lumpur di Taman Guar Perahu, di sini semalam.

MBSP memaklumkan notis henti kerja itu dikeluarkan hari ini kepada pemaju bagi projek pembangunan di Lot PT 63 (Lot 3509), Mukim 20 setelah didapati berlaku pelanggaran syarat di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Kerja Tanah (Majlis Perbandaran Seberang Perai) 1992.

"Hasil pemeriksaan tapak mendapati pihak pemaju telah gagal mematuhi syarat kelulusan pelan kerja tanah antaranya telah menyebabkan limpahan air lumpur ke lot-lot bersebelahan iaitu Taman Guar Perahu dan tidak menyediakan kolam mendapan yang berfungsi dengan sempurna.

"Selain itu, pemaju juga tidak mengadakan parit tanah sementara dan tidak menyediakan ban pengadang di sepanjang sempadan taman berjiran," katanya dalam kenyataan.

MBSP memaklumkan pihaknya telah mengarahkan pemaju supaya mengemukakan pelan mitigasi kerja tanah terkini bagi kelulusan MBSP termasuk cadangan pembesaran kolam mendapan dan pembinaan parit tanah.

Pihak berkuasa tempatan itu turut mengarahkan pemaju untuk melaksanakan kerja pembersihan segera ke atas parit, jalan dan kediaman yang terjejas selain memasang "hoarding" di kawasan yang belum dilengkapi dengan tembok pengadang serta melaksanakan kerja mitigasi yang dicadangkan serta-merta.

Dalam kejadian petang semalam, lebih 50 rumah di Taman Guar Perahu Indah, Taman Guar Perahu dan Padang Temusu terjejas akibat banjir kilat dengan air serta selut memasuki rumah hingga paras 0.5 meter susulan hujan lebat lebih sejam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan