AM

FELDA Minta Kerajaan Pertimbang Mansuh AP, IP Gula Tapis Import

17/09/2025 06:15 PM

BUTTERWORTH,  17 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan memansuhkan permit kelulusan (AP) dan permit import (IP) bagi gula bertapis yang dijual di pasaran tempatan berikutan kebanjiran gula import.

Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Malaysia kini mengalami lebihan kapasiti pengeluaran gula dan tidak memerlukan kehadiran gula import yang dijual pada harga yang sama dengan produk tempatan, walaupun kos pengeluarannya di negara asal jauh lebih tinggi.

"MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), sebahagian Ahli Kumpulan FGV yang merupakan pengeluar gula negara berharap kerajaan mansuhkan AP dan IP gula tapis import kerana langkah membenarkan masuk memberi tekanan besar kepada pengeluar tempatan.

"Kita lihat di negara seperti Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia, harga gula mereka jauh lebih mahal antara RM5 hingga RM8 sekilogram, tetapi gula mereka boleh pula dijual di Malaysia pada harga RM2.85, sama seperti harga kawalan tempatan yang menunjukkan unsur lambakan (dumping) dan perlu dihentikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di kilang penapisan gula terbesar di Malaysia, MSM Perai dan melancarkan Gula Perai Edisi Khas FELDA sebagai penghormatan kepada peneroka FELDA. 

Ahmad Shabery berkata gula tapis import dibawa masuk ke Malaysia sekitar 60,000 hingga 70,000 tan setiap tahun untuk dijual terus dalam pasaran runcit tempatan.

Beliau menjelaskan jika keadaan itu berterusan, ia bukan sahaja akan menjejaskan operasi kilang di sini malah boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan dan kerugian besar kepada negara dari sudut ekonomi jangka panjang.

"Bagi saya, apabila kita sudah mengeluarkan gula berlebihan daripada keperluan, jadi tidak ada keperluan untuk kita memberi apa-apa permit import kepada mana-mana pihak untuk masuk kembali gula tapis dijual di sini," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar tindakan susulan dapat diambil berhubung isu tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan