AM

SmartGOV Malaysia 2025 Serlah Teknologi Masa Depan

17/09/2025 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pameran robotik dan avatar antara tarikan utama SmartGOV Malaysia 2025, acara berprestij yang menghimpunkan pakar industri, agensi kerajaan, tokoh akademik serta syarikat teknologi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, bermula hari ini hingga Jumaat.

Bertemakan ‘GovTech for the Future – Innovating Public Service Delivery’, acara julung kali anjuran Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama strategik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Synapze Sdn Bhd itu dirasmikan Menteri Digital Gobind Singh Deo hari ini.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat JDN Norshahidawati Abdullah berkata acara itu mengetengahkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan pengkomputeran awan yang dijangka mengubah landskap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“JDN sebenarnya telah menyediakan lebih daripada 30 produk dan perkhidmatan dan ada juga produk yang sebahagiannya memfokuskan kepada rakyat,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian itu.

Antara inisiatif tersebut ialah Portal MyGovernment (malaysia.gov.my), Portal Rai (rai.malaysia.gov.my) serta Data Terbuka Sektor Awam (data.gov.my) yang membolehkan rakyat mengakses maklumat rasmi secara lebih pantas dan diyakini.

“Kalau pelajar nak tahu senarai IPTA yang diiktiraf, mereka boleh layari Portal MyGovernment, iaitu data-data itu ialah data langsung (first-hand data) daripada proses yang kita percaya,” katanya.

Norshahidawati berkata pameran turut menampilkan tarikan interaktif seperti chat box yang membolehkan pengunjung terutama kanak-kanak menguji teknologi kecerdasan buatan (AI). 

“Antara tarikan menarik di reruai pameran JDN adalah chat box JDN di mana anak-anak boleh cuba tanya pelbagai soalan seperti siapakah nama Perdana Menteri Malaysia dan AI akan menjawab,” jelasnya.

Selain itu, SmartGOV 2025 turut mengundang barisan penceramah antarabangsa bagi berkongsi idea dan pengalaman berkaitan amalan terbaik transformasi digital sektor awam.

Dengan sasaran lebih 5,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, SmartGOV Malaysia 2025 diyakini menjadi pemangkin transformasi digital sektor awam sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia sebagai negara digital maju.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan