EKONOMI

Dasar, Tarif, Insentif Jelas Dalam RMK13 Penting Untuk Realisasi Teknologi Kereta Hidrogen Malaysia - MAA

16/09/2025 10:47 AM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Malaysia telah melaksanakan langkah yang sewajarnya untuk menjadikan teknologi kereta hidrogen sebagai keutamaan negara dalam inisiatif tenaga bersih di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Bagaimanapun dasar, tarif dan insentif yang sesuai adalah asas utama bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Sambil menyokong penglibatan mobiliti hidrogen dalam pelan pembangunan negara, Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bagaimanapun, menegaskan dasar dan rangka kerja praktikal yang sewajarnya amat diperlukan untuk mengubah matlamat ini kepada penerimagunaan teknologi yang sedang digunakan oleh beberapa negara.

Antara negara yang telah menggunakan teknologi kereta hidrogen adalah China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jerman.

Malaysia pula dilaporkan sedang membangunkan teknologi ini untuk kegunaan bahan api masa hadapan, dengan menumpukan kepada kenderaan elektrik (EV) sel bahan api seperti Toyota Mirai.

Presiden MAA Mohd Samsor Mohd Zain berkata langkah berkenaan adalah hala tuju yang tepat ke arah kemampanan dalam visi kerajaan untuk mengenal pasti hidrogen di samping penyelesaian tenaga bersih utama seperti pemerangkapan nuklear dan karbon.

“Dengan dasar yang sesuai, struktur tarif yang jelas dan insentif yang betul, ini mampu membantu industri automotif mempercepat penggunaan kenderaan hidrogen di pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama.

Di bawah pelan hala tuju pembangunan lima tahun negara itu, hidrogen diletakkan sebagai teras kepada aspirasi mobiliti generasi akan datang di Malaysia.

Pelan itu menyaksikan kenderaan hidrogen sebagai penyelesaian berdaya maju untuk menyahkarbon sektor yang lebih sukar bagi elektrifikasi terutamanya pengangkutan jarak jauh dan tugas berat -- segmen yang mungkin menghadapi kekangan operasi sekiranya hanya bergantung kepada EV bateri konvensional.

 

Penetapan Harga Karbon Sebagai Pemacu Perubahan

 

MAA turut melihat pengenalan rancangan cukai karbon dan perdagangan karbon yang diumumkan di bawah RMK13 sebagai medium penting yang boleh menyusun semula strategi perolehan kenderaan dan pengurusan kumpulan kenderaan dalam sektor awam dan swasta.

Mohd Samsor berkata sekiranya dasar-dasar ini dilaksanakan dengan baik, ini boleh mendorong peralihan kepada kumpulan kenderaan rendah pelepasan karbon dengan menjadikan kenderaan konvensional yang mencemarkan kurang berdaya saing dari segi kewangan.

Pelaksanaan dasar ini juga boleh membantu mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan EV di seluruh negara sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang lebih bersih dan mampan.

 

TVET: Membina Bakat Bagi Mobiliti Bersih

 

Selain peralihan tenaga, industri automotif juga optimis terhadap penekanan pelan berkenaan dalam memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berikutan MAA yakin ia pemangkin penting kepada ekosistem mobiliti masa hadapan.

“Kami menyokong inisiatif kerajaan untuk memperteguh TVET bagi melahirkan lebih ramai pakar teknikal dan juruteknik mahir yang penting dalam peralihan industri ke arah kenderaan elektrik, berhubung dan berautonomi,” kata Mohd Samsor.

MAA yakin tenaga kerja tempatan yang berkemahiran juga akan memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif strategik seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang diwujudkan sebagai hab bagi pembuatan dan inovasi automotif bernilai tinggi.

Mohd Samsor berkata aspek ini juga akan memastikan Malaysia bersedia dengan kepakaran sewajarnya untuk memacu teknologi mobiliti generasi akan datang memandangkan peralihan kepada kenderaan elektrik, berautonomi dan berhubung memerlukan tenaga kerja yang baharu.

“AHTV akan berperanan penting dengan menarik pelaburan berteknologi tinggi, pembangunan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta makmal ujian.

"Dengan adanya ekosistem ini, ia akan memperkukuh ekosistem vendor tempatan yang seterusnya akan membantu merancakkan aktiviti tempatan selaras dengan keperluan mobiliti masa hadapan,” katanya.

 

Perbelanjaan Pembangunan dan Pertumbuhan Industri

 

Dengan peruntukan sebanyak RM430 bilion untuk perbelanjaan pembangunan (DE) di bawah RMK13, komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan infrastruktur dijangka memberi manfaat secara tidak langsung kepada sektor automotif terutamanya segmen kenderaan komersial.

Secara amnya, projek infrastruktur awam memacu permintaan terhadap kenderaan yang kemudiannya akan mewujudkan kesan limpahan ke seluruh industri, daripada pembuatan hingga perkhidmatan selepas jualan.

“RMK13 menunjukkan komitmen kukuh kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi dan industri dengan peruntukan RM430 bilion untuk pembangunan. Ini akan memberi kesan limpahan positif kepada sektor automotif,” kata Mohd Samsor.

Persatuan itu juga berpendapat tumpuan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) akan memberi manfaat kepada sektor automotif dengan menggalakkan komponen maju tempatan seperti bahagian EV dan sistem keselamatan.

“AHTV akan berperanan penting dalam menarik pelaburan berteknologi tinggi, pembangunan kemudahan R&D serta makmal ujian. 

“Ini akan memperkukuh ekosistem vendor tempatan yang membantu merancakkan aktiviti tempatan selaras dengan keperluan mobiliti masa hadapan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan RMK13 pada 31 Julai berkata pelaburan sebanyak RM611 bilion daripada 2026 hingga 2030 akan diperuntukkan bagi mentransformasikan Malaysia menjadi negara yang lebih terangkum, mampan dan berasaskan teknologi.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM430 bilion daripada DE kerajaan, RM120 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan  (GLIC) serta RM61 bilion melalui kerjasama awam-swasta (PPP).

Peruntukan bagi DE itu mewakili RM15 bilion atau peningkatan 3.6 peratus daripada RM415 bilion yang diperuntukkan di bawah RMK12, bersamaan perbelanjaan sebanyak RM86 bilion setahun, iaitu jumlah tertinggi di bawah Rancangan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan