AM

Pengunjung 'Tergamam', Puji Penganjuran Sambutan Hari Malaysia 2025 Di Pulau Pinang

17/09/2025 12:20 AM

BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Rakyat berbilang bangsa ‘tergamam’ dengan kemeriahan sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth malam ini yand berlangsung penuh gilang-gemilang.

Rata-rata pengunjung yang hadir menyaksikan acara kemuncak sambutan tersebut, memuji penganjuran yang diadakan buat julung kali di Pulau Mutiara.

Khor Moh Nee, 46, yang tinggal di Permatang Pauh berkata beliau terkejut kerana ramai yang hadir dan berbilang kaum malah sambutan tersebut juga meriah dengan pelbagai persembahan yang menarik dari semua kaum termasuk Sabah dan Sarawak.

“Saya tinggal tidak jauh dari pusat konvensyen ini, jadi kami memang dari awal merancang untuk datang meraikan Hari Malaysia lagipun ini kali pertama ia disambut di Pulau Pinang, ia berlangsung dengan sangat meriah,” katanya ketika ditemui Bernama selepas acara kemuncak sambutan itu.

Lai Yong He, 26, yang pertama kali menghadiri acara seumpamanya di Pulau Pinang turut berkongsi rasa gembira kerana dapat merasai kemeriahan sambutan secara bersama dan menyifatkan sambutan malam ini sebagai simbol penyatuan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

“Saya rasa memang kita sebagai satu, semua kaum sekali, kaum ada dekat sini. Kita kena (ada) perpaduan, bersatu dan kita buat Malaysia kuat lagi macam tahun 90-an jadi Asia Four Tiger,” kata pekerja swasta dari Butterworth itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn, Mohd Zulfikar Yusri, 14, pula meluahkan keterujaan kerana berpeluang menyaksikan sendiri sambutan bersejarah yang julung kali diadakan di Pulau Pinang.

“Saya amat seronok dapat hadir pada hari ini. Ia merupakan pengalaman berharga apabila dapat melihat bagaimana semangat perpaduan terpamer melalui kehadiran rakyat pelbagai bangsa dan agama yang berkumpul di satu tempat," katanya yang berasal dari Bagan Ajam.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung T. Munisha Devi, 25, yang merupakan pekerja swasta berkata beliau datang ke sambutan itu pada 5 petang dan sempat melawat beberapa pameran yang disediakan termasuk merasa juadah ibu kayu rebus dan beberapa lagi menu yang disediakan.

"Saya datang dengan ibu dan adik perempuan. Penganjuran sangat bagus, baik dan sangat meriah. Kami gembira dengan semua persembahan dan pameran yang terdapat (di sini),” katanya.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini, sambutan Hari Malaysia 2025 disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib. 

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan