AM

Lebih 2,000 Usahawan Sertai Program Maju Usahawan MADANI 2025 - Ramanan

16/09/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Sejumlah 2,257 usahawan dari seluruh negara menerima manfaat menerusi penyertaan dalam program Maju Usahawan MADANI 2025 (MUM) kelolaan Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) setakat ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah berkenaan, golongan usahawan wanita mendominasi dengan sejumlah 1,674 penyertaan.

“Penyertaan wanita tiga kali ganda lebih banyak daripada usahawan lelaki yang cuma merekodkan sejumlah 583 orang dan saya harap selepas ini akan lebih banyak usahawan lelaki mengambil bahagian dalam program ini.

“MUM ini beri peluang untuk usahawan belajar mengembangkan perniagaan melibatkan strategi membuat penjimatan, pendigitalan serta bagaimana kita boleh memanfaatkan teknologi AI (kecerdasan buatan),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan MUM Parlimen Sungai Buloh di sini hari ini.

Ramanan berkata hasil penyertaan menggalakkan diterima setakat ini, beliau yakin platform MUM akan berjaya melahirkan lebih banyak usahawan yang memanfaatkan teknologi dan pendigitalan dalam perniagaan mereka.

“Ini termasuklah pembelajaran dan pemahaman dalam strategi pengurusan kredit, mengenai e-invoicing dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan CEDAR yang juga anak syarikat Small Medium Enterprise Development Bank Bhd (SME Bank) menyasarkan 3,000 usahawan menyertai Program MUM di seluruh negara tahun ini. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan