JOHOR BAHRU, 14 Sept (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk menilai dan memperluas perkhidmatan penghantaran ubat secara percuma.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata sejak perkhidmatan itu diperkenalkan pada 2024, jumlah pengguna mencatatkan peningkatan daripada 6,000 kepada 20,000 pesakit.
"Kini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor sedang bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk menilai dan memperluas lagi perkhidmatan tersebut, termasuk kemungkinan penghantaran ubat-ubatan yang memerlukan kawalan suhu.
"Perkhidmatan ini memberi banyak kemudahan kerana pesakit tidak lagi perlu bersusah payah ke hospital atau klinik, tidak risau tentang pengangkutan dan tidak perlu menunggu lama di kaunter, sekali gus menjadikan ia sangat mendapat sambutan," katanya dalam kenyataan nenerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata sepanjang dua tahun ini, Kerajaan Johor telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi menggerakkan program itu.
Bagi kerajaan negeri, katanya membantu 20,000 pesakit setiap bulan untuk tidak perlu hadir ke hospital atau klinik bukan sahaja meringankan beban mereka, malah turut membantu mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan serta menyumbang kepada pengurangan masalah trafik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial