BUTTERWORTH, 14 Sept (Bernama) -- Raptai penuh sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth malam ini berjalan lancar menjelang acara kemuncak pada Selasa ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau berpuas hati dengan tahap persiapan keseluruhan sambutan berkenaan yang disifatkan berada pada landasan terbaik.
“Alhamdulillah, saya bersama pasukan telah menyaksikan raptai penuh persembahan sempena sambutan Hari Malaysia.
“Saya berpuas hati dengan persiapan dan hanya meminta beberapa penambahbaikan kecil dilakukan, namun tiada isu besar,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai itu, malam ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) yakin rakyat akan disajikan dengan persembahan terbaik pada malam sambutan berkenaan.
Beliau berkata pelbagai pengisian turut disusun sepanjang hari sambutan termasuk reruai pameran, kaunter Jualan Rahmah, serta pelbagai acara untuk pengunjung, selain pertunjukan bunga api selepas tamat persembahan utama.
“Justeru, saya berharap orang ramai hadir bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di Pulau Pinang,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Acara berkenaan turut menampilkan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara, Ella bersama Suki Low; Roshini Balachandran, selain artis dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial