AM

ICQS Bukit Kayu Hitam Sesak Berikutan Limpahan Kenderaan Sempena Cuti Sekolah

14/09/2025 12:12 PM

ALOR SETAR, 14 Sept (Bernama) -- Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mengalami kesesakan luar biasa berpunca daripada limpahan kenderaan yang menuju ke negara jiran sempena cuti sekolah dan musim cuti yang panjang.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kesesakan yang bermula sejak semalam itu dijangka berterusan sehingga 21 Sept ini.

“Berlaku kesesakan luar biasa di laluan keluar kenderaan persendirian (kereta) di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam. Keadaan ini berpunca daripada limpahan kenderaan yang  berkunjung ke Thailand, khususnya sempena musim cuti persekolahan dan sambutan cuti umum Hari Malaysia.

“Statistik pergerakan menunjukkan sebanyak 21,971 individu masuk dan keluar melalui Kompleks ICQS, semalam… 4,941 individu pelbagai warganegara antaranya Malaysia, Thailand, Indonesia, China dan India masuk ke Malaysia, manakala 17,030 individu pula keluar ke Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata bagi menangani kesesakan itu, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRT) telah diaktifkan selain menempatkan pegawai bertugas tambahan bagi mengawal aliran trafik di kawasan ICQS berkenaan.

Beliau berkata turut digerakkan ialah kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan pintu masuk yang dibuka seawal 6 pagi dan ditutup pada 12 malam itu dikawal rapi.

Menurut Mohd Nasaruddin, pemantauan rapi turut dilaksanakan secara berterusan di lapangan bagi memastikan keadaan keseluruhan adalah terkawal.

“AKPS juga menasihatkan semua pengembara yang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua petugas penguatkuasaan yang berada di lapangan dan merancang perjalanan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata pengembara juga diminta untuk menyusun jadual perjalanan lebih awal, mengambil kira tempoh menunggu serta mematuhi arahan penguat kuasa untuk keselamatan dan kelancaran semua pihak.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan