AM

AKM Catat Rekod MBOR Dengan Sejuta Penyertaan Dalam Program Bicara Kenegaraan

13/09/2025 08:45 PM

SERDANG, 13 Sept (Bernama) -- Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) susulan penyertaan lebih sejuta peserta dalam tempoh sebulan menerusi Program Bicara Kenegaraan. 

 AKM dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Rekod ini hasil sokongan padu rakyat negara ini dan menjadi bukti semangat kenegaraan tetap utuh serta terus berkembang seiring aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Pengiktirafan MBOR disampaikan pada upacara kemuncak Program Citra Apresiasi Aku Kasih Malaysia yang diadakan bagi menghargai sokongan rakyat terhadap inisiatif kenegaraan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah AKM Datuk Dr Roslan Hussin semasa berucap pada majlis perasmian program itu di sebuah pusat membeli-belah di sini, berkata penganjurannya merupakan medium terbaik mendekatkan institusi tersebut dengan komuniti.

“AKM ditubuhkan untuk rakyat Malaysia bagi mengangkat semangat kecintaan kepada negara. Program diadakan ini membabitkan penyertaan semua agar Hari Kebangsaan menjadi aspirasi bersama.

“Ia usaha kecil kami di AKM bagi memastikan keharmonian dapat dikekalkan antaranya menerusi kesenian sebagai medium,” katanya. 

Program itu disemarakkan dengan pertandingan akhir Pantomim Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang menampilkan kreativiti peserta mengangkat mesej kecintaan kepada tanah air.

Turut berlangsung penyampaian hadiah Ekspresi Merdeka: Video Kreatif Peringkat Kebangsaan menonjolkan bakat muda dalam penghasilan karya digital yang akan dipaparkan di media sosial AKM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan