KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia bersedia memimpin usaha membangunkan ekonomi kewangan Islam-halal bersepadu yang akan menjana pertumbuhan dan kemakmuran yang inklusif, bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga untuk masyarakat global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata rangka kerja tadbir urus negara yang kukuh, disokong oleh Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, terus memberi keyakinan dan kestabilan kepada sektor itu dengan menyediakan kejelasan, perlindungan dan kredibiliti kepada pelabur dan pengguna.
“Kepimpinan dibina atas dasar kepercayaan dan teras kewangan Islam Malaysia ialah rangka kerja tadbir urus yang memberi inspirasi kepada keyakinan dan kestabilan,” katanya dalam ucaptama beliau di Sidang Kemuncak Kewangan Islam Global (GIFS) 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata kredibiliti Malaysia dalam kewangan Islam diperkukuh lagi melalui langkah penguatkuasaan yang tegas dengan penalti sehingga RM25 juta dan hukuman penjara sehingga lapan tahun bagi sebarang pelanggaran untuk memastikan integriti industri terpelihara.
Melangkah ke hadapan, Ahmad Zahid berkata Malaysia telah menggariskan tiga keutamaan untuk memperkukuh peranannya dalam ekosistem kewangan Islam-halal global.
Keutamaan pertama adalah menjadikan pembiayaan halal sebagai pemacu pertumbuhan merentas sektor-sektor strategik seperti makanan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan teknologi.
Bagi keutamaan kedua pula adalah mempercepat pembangunan modal insan dengan melahirkan juruaudit, eksekutif, dan profesional halal yang menjunjung piawaian integriti bertaraf global.
“Keutamaan ketiga adalah untuk mengesahkan semula peranan Malaysia sebagai penentu piawaian global melalui platform yang diperbaharui seperti Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) dan Forum Kewangan Islam Global untuk membentuk agenda antarabangsa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata visi yang melangkaui keutamaan itu adalah untuk meningkatkan makna pensijilan halal melebihi sekuriti makanan dan pematuhan agama supaya turut merangkumi kesahihan kekayaan di sebaliknya dan bebas daripada unsur terlarang seperti riba’.
“Halal mestilah merangkumi bukan sahaja apa yang masuk ke mulut kita, tetapi juga integriti bagaimana ia dihasilkan, dibiayai dan dihidangkan ke meja kita.
“Ini merupakan visi sebenar bagi ekonomi halal yang holistik, murni dari segi isi dan semangatnya,” tambah beliau.
GIFS ialah sidang kemuncak tahunan yang diadakan untuk meraikan pencapaian individu, institusi dan kerajaan dalam mempromosi dan memajukan perbankan dan kewangan Islam serta memastikan ia terus komited terhadap tanggungjawab sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial