AM

Sambutan Hari Malaysia Lonjak Sektor Pelancongan Pulau Pinang

13/09/2025 04:41 PM

GEORGE TOWN, 13 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Pulau Pinang mampu memberi lonjakan ketara kepada sektor pelancongan negeri ini, terutamanya dengan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin memanfaatkan cuti panjang serta cuti persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hong Wai berkata acara itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kadar penginapan di hotel, terutamanya di sekitar Butterworth yang menjadi lokasi sambutan.

“Kita sentiasa bersedia menerima kehadiran pelancong dan dalam tempoh dua tahun ini, terdapat beberapa hotel lima bintang baharu dibuka di Seberang Perai seperti Crowne Plaza di Butterworth dan Holiday Inn di Bukit Mertajam.

“Justeru, kita percaya kemudahan hotel yang ada mampu menyediakan kapasiti mencukupi bagi menampung jumlah pelawat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Selain sektor perhotelan, beliau turut menjangkakan industri lain seperti makanan dan peruncitan akan turut menerima limpahan ekonomi daripada kehadiran pelancong.

Wong berkata terdapat juga hotel yang menawarkan promosi istimewa bagi tempahan bufet makanan serta penginapan bersempena dengan Bulan Kebangsaan sehingga hujung bulan ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sektor pelancongan di negeri ini turut menunjukkan peningkatan ketara selepas pandemik COVID-19 dengan statistik merekodkan 8.23 juta penghuni hotel tahun lepas, iaitu peningkatan 13.3 peratus berbanding 7.27 juta pada 2023 sekali gus melepasi rekod prapandemik pada 2017 sebanyak 6.38 juta penghuni.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata jumlah tempahan hotel, khususnya di Butterworth ketika ini berada pada kadar kira-kira 60 peratus dan dijangka meningkat hingga 65 peratus dengan tempahan saat akhir.

Beliau berkata usaha sedang dipergiat untuk mempromosikan kawasan berkenaan bagi menarik lebih ramai pelancong melakukan aktiviti santai kawasan tanah besar, berbanding pulau.

“MAH bekerjasama rapat dengan Penang Global Tourism (PGT) untuk meningkatkan kesedaran mengenai tarikan pelancongan yang ada di Seberang Perai kerana kawasan ini sebenarnya mempunyai banyak potensi untuk diterokai selain dari George Town,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” diadakan pada 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, dengan pelbagai pengisian menarik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan acara pada 8.30 malam, yang dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan