Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap peningkatan paras stok di negara ini.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak soya dan minyak mentah yang lebih lemah turut menjejaskan sentimen pasaran.
“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,400 dan paras rintangan pada RM4,450 setiap tan,” katanya kepada Bernama.
Pada Rabu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan simpanan MSM negara meningkat sebanyak 5.45 peratus kepada 1.08 juta tan pada Ogos berbanding 1.02 juta tan pada Julai.
Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses turut meningkat tiga peratus bulan ke bulan kepada 1.12 juta tan daripada 1.09 juta tan sebelum ini.
Ini menyebabkan jumlah inventori minyak sawit meningkat sebanyak 4.18 peratus kepada 2.20 juta tan pada Ogos berbanding 2.11 juta tan pada Julai.
Pada penutup dagangan, kontrak September 2025 tidak berubah pada RM4,383, kontrak Oktober 2025 turun RM7 kepada RM4,408, manakala kontrak November 2025 merosot RM9 kepada RM4,445.
Kontrak Disember 2025 susut RM11 kepada RM4,470 setiap tan, Januari 2026 menurun RM12 kepada RM4,482 dan Februari 2026 turun RM13 kepada RM4,471.
Jumlah dagangan meningkat kepada 78,526 lot daripada 64,358 pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 263,070 kontrak daripada 256,725 sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk September Selatan turun RM30 kepada RM4,420 setiap tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial