DUNIA

Ringgit Lepasi Paras 4.20 Berbanding Dolar AS, Dipacu Jangkaan Luas Pengurangan Kadar Fed

12/09/2025 07:57 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, dirangsang oleh jangkaan meluas terhadap pengurangan kadar faedah oleh AS minggu depan.

Pada 6 petang, ringgit melepasi paras 4.20 berbanding dolar AS apabila mengukuh pada 4.1975/2080 daripada 4.2185/2240 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan mengenai keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) telah menyokong peningkatan ringgit.

“Ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) akan bermesyuarat pada 16 hingga 17 September ini dan dijangka melaksanakan pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps),” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes pula berkata ringgit mengukuh hari ini apabila dolar AS mengalami kelemahan berikutan data pasaran buruh AS hambar.

“Pasaran tidak mengendahkan kenaikan inflasi AS sebanyak 0.3 peratus (bagi Ogos), sebaliknya menumpukan terutama kepada kemerosotan data pekerjaan.

“Peningkatan tuntutan faedah pengangguran di AS (minggu lepas) telah mendorong jangkaan terhadap pengurangan kadar faedah yang lebih tinggi, dengan pelabur kini menjangkakan pelonggaran dasar Fed sebanyak 72 bps bagi baki tempoh 2025, meningkat daripada 68 bps sebelum data itu dikeluarkan,” katanya.

Pada penutupan dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding beberapa mata wang utama lain.

Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.9203/9326 daripada 4.9293/9357 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8373/8446 daripada 2.8509/8548.

Mata wang tempatan juga lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.6864/7006 daripada 5.6954/7028 semalam.

Ringgit juga lebih kukuh kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2719/2803 daripada 3.2829/2874 ketika ditutup pada Khamis, dan lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 13.2317/2703 daripada 13.2432/2663.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.37 daripada 7.37/7.39 namun, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 256.3/257.0 daripada 256.2/256.7.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan