DUNIA

Tempahan Pesawat C909 Buatan China Oleh Kemboja Tarik Perhatian Media Asing

12/09/2025 02:24 PM

BEIJING, 12 Sept (Bernama-CMG) -- Cambodia Airways menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) untuk membeli 10 pesawat penumpang jenis C909 baru-baru ini dan merancang menambah 10 unit lagi pada masa depan, sekali gus mencuri perhatian media antarabangsa.

Menurut laporan South China Morning Post, perjanjian itu merupakan antara tempahan terbesar yang pernah diterima COMAC dari luar negara, menandakan pesawat buatan China kini semakin menembusi pasaran Asia Tenggara.

Sementara itu, portal Air Data News melaporkan bahawa Kemboja menjadi negara Asia Tenggara keempat memiliki pesawat C909 selepas Indonesia, Laos dan Vietnam, selain mencatatkan peningkatan minat pengendali penerbangan global terhadap daya saing COMAC.

Laporan itu turut menekankan bahawa strategi COMAC untuk menarik lebih banyak tempahan pelanggan asing tertumpu kepada pasaran baharu muncul di Asia Tenggara, yang mempunyai permintaan tinggi terhadap pesawat bagi laluan penerbangan domestik.

Pembelian pesawat C909 dilihat mampu membantu Cambodia Airways meningkatkan kapasiti penerbangan domestik, sementara COMAC juga akan mengeluarkan jet penumpang bersaiz lebih besar, C919.

Sehingga Julai tahun ini, lebih 160 pesawat C909 beroperasi di lebih 700 laluan penerbangan, memberi perkhidmatan kepada lebih 24 juta penumpang.

-- BERNAMA-CMG


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan